UMNO tidak pernah bincang mahu kerjasama dengan DAP

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu tidak pernah berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan parti DAP.

Beliau sebaliknya mendakwa, seseorang daripada parti UMNO yang kerap bertemu dengan pemimpin parti DAP.

“Terlalu awal untuk menyebutkan bahawa kita mahu bergabung dengan parti itu dan parti ini.

“Dan kita tidak pernah berbincang walaupun ada seseorang dari parti kami yang memegang jawatan agak penting ketika itu yang kerap bertemu pemimpin parti itu (DAP) berbanding Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi satu wawancara hati ke hati bersama Presiden UMNO yang disiarkan di Malaysiapost pada Ahad.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyatakan UMNO bersiap untuk bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menyatakan terdapat surat dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO yang menyatakan sokongan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid menjelaskan, apabila beliau menyebut mengenai jajaran baharu ketika pembentukan kerajaan negeri di Perak, wujud spekulasi bahawa seolah-olah beliau mahu mendakap parti yang dibenci oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sebagai rakan kongsi politik.

“Hakikatnya tidak berlaku seperti itu. Apa yang berlaku adalah jajaran baharu mengikut perjanjian keyakinan di mana 59 Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari pelbagai parti termasuk parti yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) diberikan peruntukan yang sama dengan parti yang tidak masuk dalam parti gabungan pembentukan kerajaan negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

“Itulah jajaran baru sepertimana yang berlaku di Johor di mana parti yang tidak mendokong PN dengan Menteri Besar yang baharu diberi peruntukan yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid turut mempersoalkan adakah dengan adanya penyertaan parti di luar PN dianggap bahawa UMNO mahu bersekongkol dengan DAP.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam nada kiasannya menambah, kerelevanan serta dominan UMNO dan BN untuk menduduki kerajaan juga sedang diusahakan.

“Walaupun banyak kekangan sebagaimana uphill battle (pertarungan atasan) yang dihadapi tetapi sejarah telah memperlihatkan jika kesungguhan itu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran dalam kerja-kerja politik tidak ada sesuatu yang mustahil boleh berlaku untuk melihat perubahan itu semula,” katanya.