Tidak perlu isytihar darurat, kata Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara peribadi berpendapat bahawa tidak perlu isytihar darurat bagi membendung wabak Covid-19.

Beliau berkata, ini disebabkan negara telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mengenai perkara tersebut.

“Dalam perkara ini, saya amat taat setia kepada titah dan proklamasi Yang di-Pertuan Agong yang telah dinasihati oleh Perdana Menteri.

“Dan Perdana Menteri mendapat mandat daripada jemaah menteri supaya darurat diisytiharkan,” katanya menerusi satu wawancara hati ke hati bersama Presiden UMNO yang disiarkan di Malaysiaport pada Ahad.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan supaya proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa pengisytiharan darurat bagi menyelamatkan kuasa Perdana Menteri adalah interpretasi yang tidak boleh ditahan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, pada hakikat dan waktu yang sama, rakyat seharusnya diambil peduli.

“Bagi kita, masalah rakyat harus diutamakan. Tanpa rakyat kita tidak akan berada di mana-mana posisi dalam kerajaan apatah lagi sebagai anggota jemaah menteri. Jadi kepedulian rakyat harus diberi keutamaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: