APM bakal guna TracVirus pantau kemasukan individu ke Malaysia

Mohd Redzuan (kiri) mendengar penerangan daripada pegawai APM pada Ahad.
Mohd Redzuan (kiri) mendengar penerangan daripada pegawai APM pada Ahad.
A
A
A

SEPANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bakal menggunakan aplikasi TracVirus bagi mempermudah dan mempercepatkan kemasukan individu yang masuk ke Malaysia dari luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, aplikasi sedemikian akan turut mempertingkatkan kebolehannya untuk menjejaki individu yang menggunakan aplikasi tersebut.

Katanya, percubaan bagi aplikasi itu akan dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama dua minggu bermula pada Isnin.

“Esok (22 Februari 2021), insya-ALLAH kita (APM) akan bekerjasama dengan pihak yang membangunkan satu sistem secara percuma.

“Ia boleh membantu APM untuk memantau semua pergerakan orang yang masuk ke Malaysia. Mana mereka pergi kita tahu.

“Sekiranya mereka ini disaring di sini, antara tugas APM dengan data yang ada, kita boleh memantau secara langsung (mengikut masa sebenar),” katanya ketika meninjau operasi keselamatan APM di sini pada Ahad.

Menurutnya, sekiranya berjaya, aplikasi berkenaan akan diperluaskan untuk digunakan di tempat lain bagi menggalakkan gelembung perjalanan (travel bubble).

Pada masa sama, Mohd Redzuan berkata, APM telah pun mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan bagi mempermudahkan perkongsian data kepada pasukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Aplikasi TracVirus akan memudahkan pelawat yang sebelum ini perlu mengisi borang secara manual termasuk borang keputusan saringan Covid-19.

Selain itu, aplikasi berkenaan boleh dimuat turut di Google Play Store dan Apps Store serta digunakan dalam lapan bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Thailand, Korea, Jepun, Indonesia dan Arab.