Kejohanan renang jemputan Malaysia dibatalkan

Mae Chen
Mae Chen
A
A
A

PERENANG negara yang dalam misi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, berdepan satu lagi cabaran apabila Persatuan Renang Malaysia (MS) terpaksa membatalkan Kejohanan Renang Jemputan Peringkat Umur Malaysia ke-57.

Setiausaha Agung MS, Mae Chen berkata, kejohanan itu yang juga kejohanan kelayakan Olimpik yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Mac ini dibatalkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Mac.

“Susulan lanjutan tempoh PKP, kami tidak dapat meneruskan jemputan kepada semua persekutuan renang. Kami kecewa kerana tidak dapat menganjurkan kejohanan ini.

“Ini kerana ia sudah diiktiraf oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) sebagai Kelayakan Olimpik dan kami telah maklumkan kepada FINA mengenai pembatalan itu.

“Kami akan mendapatkan nasihat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran Terbuka Malaysia pada 20 hingga 23 Mei depan.

“Ia adalah satu lagi acara kelayakan Olimpik yang diluluskan FINA. Kami berharap dapat menganjurkannya atau kami terpaksa menghantar atlet renang negara ke kejohanan lain untuk melayakkan diri (ke Olimpik),” katanya.

Sebelum ini, MS telah membatalkan penganjuran kejohanan renang sempena Hari Sukan Negara pada 9 hingga 11 Oktober tahun lepas yang sepatutnya menjadi medan untuk menguji perenang negara, susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

MS juga telah bercadang untuk menghantar skuad renang negara mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Eropah 2021 pada 17 hingga 23 Mei di Budapest, Hungary sebagai persiapan ke Sukan SEA Hanoi pada November depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: