Mandat ‘terbangkan’ vaksin Covid-19

Hamdan (dua dari kanan) bersama pasukan di Lapangan Terbang Changi Singapura yang terbang julung kali membawa pulang vaksin Covid-19 ke Malaysia pada Ahad.- Foto Sinar Harian
Hamdan (dua dari kanan) bersama pasukan di Lapangan Terbang Changi Singapura yang terbang julung kali membawa pulang vaksin Covid-19 ke Malaysia pada Ahad.- Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Juruterbang Malaysia Airlines Bhd (MAS) kelahiran Kampung Sungai Pinang, Tumpat yang diberi mandat julung kali menerbangkan vaksin Covid-19 ke negara ini berasa terharu bercampur sentimental ketika menyempurnakan misi pada pagi Ahad.

Kapten Hamdan Che Ismail, 49, berkata, beliau bersama pasukannya menumpukan sepenuh komitmen ketika terbang membawa ‘harapan’ seluruh rakyat Malaysia berikutan lebih setahun dihantui pandemik maut itu.

Katanya, persiapan dilakukan selama empat bulan dan paling mendebarkan dalam misi penerbangan itu adalah cabaran ketika membawa vaksin tersebut kerana sensitif pada persekitaran.

“Vaksin perlu berada pada suhu rendah, itu cabarannya apabila berada tinggi di ruang udara menyebabkan ada tekanan.

Hamdan Che Ismail - Foto FB KKM
Hamdan Che Ismail - Foto FB KKM

“Team pembungkusan menjalankan kerja dengan sempurna didukung enam yang lain termasuk pembantu juruterbang, Kapten Mohd Shamsurin Mohd Mustafa (Kedah), jurutera dan pihak pengurusan, kami berjaya membawa vaksin itu dengan selamat dan dalam keadaan baik ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ketua Bahagian Operasi Penerbangan MAS tersebut bersama pasukan sebelum itu menerbangkan pesawat Airbus A330 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada jam 7 pagi.

Pasukan kemudian berlepas pulang dari negara itu pada jam 9 pagi dan tiba di Malaysia sejam kemudian.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada tiga cahaya mata tersebut dengan rendah diri berkata, secara peribadi pemilihannya dalam misi penting itu amat bermakna dan menjelaskan kriteria pemilihan bukanlah kerana beliau terbaik atau sebagainya, namun lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diarahkan serta berpeluang besar untuk berbakti kepada negara.

“Penugasan kali ini begitu sentimental buat saya kerana industri penerbangan antara yang terjejas teruk akibat pandemik ini. Malah industri lain juga, rakyat hilang kerja malah beribu kematian dalam negara.

“Jadi, vaksin ini adalah harapan dan ikhtiar kerajaan serta kita semua. Semoga semuanya berjalan lancar, manakala selebihnya berserahlah pada ALLAH Taala,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu jam penuh debaran, bawa vaksin Covid-19: Juruterbang