X

Kindly register in order to view this article
!

571,802 anggota barisan hadapan daftar imunisasi Covid-19

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Cocid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 571,802 orang anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan imunisasi Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 57.3 peratus terdiri dalam kalangan anggota perubatan dan kesihatan iaitu dengan 39.8 peratus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selebihnya 17.5 peratus pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi lain.

Menurutnya, baki 42.7 peratus terdiri daripada anggota bukan kesihatan termasuk ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.

“Sukacita dimaklumkan bahawa program imunisasi pertama melibatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diawalkan kepada 24 Februari, berbanding perancangan terdahulu iaitu pada 26 Februari ini.

"Kedua-dua mereka akan menjadi antara individu pertama yang akan diimunisasi bersama dengan petugas barisan hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata Malaysia mencatatkan sejarah apabila kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.07 pagi tadi.

"Saya bersama dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Dr Noor Hisham berkesempatan menyambut ketibaan vaksin tersebut yang turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen," katanya.

Beliau berkata selain di KLIA, ketibaan vaksin hari ini turut melibatkan penghantaran ke Johor dan Pulau Pinang.

Seterusnya, bekalan vaksin ini akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara iaitu enam di Selangor; Johor (empat); Kuala Lumpur (tiga); Pulau Pinang (dua) dan satu di Putrajaya.

"Ketibaan vaksin ini memberi sinar baharu kepada kita semua rakyat Malaysia, terutama para petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi pandemik ini," katanya.

Penerbangan Malaysia Airlines MH604, pesawat penumpang Airbus A330-300 yang membawa kumpulan pertama vaksin selamat mendarat di KLIA dengan membawa 312,390 dos vaksin untuk Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan diadakan secara berperingkat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!