Penamaan semula Jalan Universiti tanda kenang jasa Ungku Aziz

Jalan Universiti dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz untuk mengenang jasa beliau dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu.
Foto: Facebook Selangor Royal Office.
Jalan Universiti dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz untuk mengenang jasa beliau dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu. Foto: Facebook Selangor Royal Office.
A
A
A

PETALING JAYA - Pemilihan Jalan Universiti di sini untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz adalah untuk mengabadikan nama besar tokoh akademik terulung negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penamaan semula nama jalan itu sebagai tanda mengenang jasa bakti Allahyarham semasa hayatnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu.

Baginda berpandangan pemilihan lokasi jalan tersebut adalah wajar kerana ia adalah jalan pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti MAHSA.

Pada Jumaat, baginda turut menzahirkan rasa sukacita dengan terlaksana titahnya agar nama Jalan Universiti di Petaling Jaya dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz apabila pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengubahsuai papan tanda jalan di sekitar Petaling Jaya yang mengandungi nama baharu jalan berkenaan.

“Jalan Prof Diraja Ungku Aziz sepanjang 3.2 kilometer ini adalah jalan utama yang menghubungkan Petaling Jaya ke Kuala Lumpur telah dibina pada tahun 1960 dan merupakan jalan dua hala pertama di Malaysia.

“Jalan ini menghubungkan ke jalan-jalan utama lain seperti Lebuhraya Persekutuan, Jalan Prof Khoo Kay Kim, Jalan Dato’ Abu Bakar 16/1 dan Jalan Harapan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: