Vaksin Covid-19 beri sinar, harapan kepada seluruh rakyat

Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 memberi sinaran dan harapan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada penerima vaksin Covid-19 fasa pertama untuk berdepan pandemik itu.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau berharap kerajaan dapat memastikan pemberian vaksin tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual fasa yang ditetapkan tanpa sebarang kelemahan.

"Diharapkan pelan ini dapat dilaksanakan secara berkesan dan cekap supaya tidak timbul perkara negatif.

"Kerajaan juga perlu memastikan setiap mereka yang layak tidak tertinggal daripada senarai penerima vaksin tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan disaran melantik pemimpin-pemimpin peringkat komuniti sebagai ejen rasmi penyampai maklumat berkaitan pengambilan vaksin Covid-19.

Katanya, usaha itu demi meningkatkan kesedaran masyarakat seterusnya membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Kita mahu pastikan kita ada satu strategi komunikasi supaya maklumat-maklumat yang betul dan tepat dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat tidak kira dalam atau luar bandar.

"Dalam hal ini bukan saja melibatkan saluran sosial media atau media massa tetapi melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya pemimpin peringkat komuniti di mana mereka mesti diberikan maklumat oleh KKM dan menjadi ejen untuk sebarkan maklumat tepat kepada komuniti mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lam Thye berkata, setelah maklumat disampaikan secara tepat dan lebih menyeluruh terpulang kepada masyarakat untuk membuat pilihan.

"Kita tak perlu wajibkan (pengambilan vaksin) tetapi diambil secara sukarela. Terpulang kepada mereka untuk buat keputusan selepas mereka diberikan maklumat yang tepat," katanya

Pada masa sama, beliau juga menyambut baik tindakan kerajaan mewujudkan skim perlindungan kepada penerima vaksin Covid-19.

"Walaupun kita tahu bahawa peratusan yang jatuh sakit amat kurang namun mungkin ada kes-kes terpencil dan sekurang-kurangnya kerajaan sudah sedia membantu mereka mendapatkan pampasan," katanya.