PKPD di asrama, kilang, tapak binaan Central Medicare esok

Asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak dikenakan PKPD bermula esok hingga 7 Mac. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak dikenakan PKPD bermula esok hingga 7 Mac. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare di Hilir Perak mulai esok (Isnin) hingga 7 Mac depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan perintah itu berikutan terdapat 185 individu didapati positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

"Sehingga 19 Februari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 1,966 saringan dengan 185 daripadanya didapati positif. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksana saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangannya akan tamat seperti dijadualkan pada esok.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 482 saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 142 kes direkodkan. KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan,” katanya.

Memperincikan mengenai saringan wajib pekerja warga asing semalam, Ismail Sabri berkata seramai 13,998 warga asing telah menjalani saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 52 didapati positif.

"Secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan 426,923 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 20,752 majikan dan daripada jumlah ini, 7,778 orang telah disahkan positif manakala 419,145 lagi negatif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai jumlah tangkapan ingkar arahan PKP, Ismail Sabri berkata, seramai 493 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard dan daripada jumlah itu 484 individu dikompaun manakala sembilan direman.

"Kesalahan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran merekodkan kesalahan tertinggi sebanyak 133 kesalahan,” katanya. - Bernama