X

Kindly register in order to view this article
!

MB Perak antara 33,503 petugas terima vaksin fasa pertama

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad antara 33,503 individu barisan hadapan yang bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di Perak.
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad antara 33,503 individu barisan hadapan yang bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di Perak.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, turut terlibat dalam program vaksinasi berkenaan adalah semua barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak.

"Jumlah vaksin yang dijangka diterima negeri ini untuk fasa pertama adalah sebanyak 79,560 dos dan seramai 33,503 petugas barisan terlibat sebagai penerima termasuk pimpinan pentadbiran kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, sebanyak 49 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diwujudkan di Perak setakat ini bagi melancarkan pelaksanaan program berkenaan antaranya di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

"Tambahan lokasi PPV ini akan dikenalpasti mengikut kesesuaian terutama pada fasa kedua dan ketiga pemberian vaksin bermula nanti.

"Kerajaan Perak berharap dengan pelaksanaan imunisasi ini dapat meredakan dan memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sepertimana diumumkan sebelum ini, pendaftaran awam bagi pelaksanaan vaksinasi ini bermula pada Mac 2021 diikuti penerimaan vaksin bagi fasa kedua pada April hingga Ogos.

Katanya, fasa kedua berkenaan memberi keutamaan kepada warga emas 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan golongan kurang upaya.

"Fasa ketiga pula bermula bulan Mei hingga Februari 2022, iaitu bagi penduduk berusia 18 tahun ke atas untuk warganegara atau bukan warganegara. Prioriti akan diberikan pada zon merah seterusnya kuning dan hijau," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Akmal dalam Facebooknya menyatakan kebimbangan dengan kes jangkitan di negeri ini yang mencecah lebih angka 1,000 kes positif pada Ahad.

Katanya, ia merupakan kes pertama tertinggi direkodkan di Perak sejak penularan wabak berkenaan, tahun lalu dengan majoriti kes membabitkan kilang dan penjara.

"Banyakkan berdoa, hari ini (Ahad) adalah pertama kali kes paling tinggi dalam Perak, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaporkannya nanti, lebih 1,000 kes positif Covid-19," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan takut ambil vaksin


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!