Tukang kebun didenda RM10,000 akibat lupus projektor curi

Tertuduh (tengah) didenda RM10,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Ahad bagi empat pertuduhan sengaja melupuskan enam projektor milik Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu.
Tertuduh (tengah) didenda RM10,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Ahad bagi empat pertuduhan sengaja melupuskan enam projektor milik Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kebun sekolah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad selepas mengaku salah terhadap empat pertuduhan sengaja melupuskan harta curi iaitu enam projektor berserta kabel wayar milik Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu.

Tertuduh, Mohd Azwan Hafizi Tajudin, 33, dari Kuala Nerus didakwa melakukan kesalahan pertama kira-kira jam 5.10 petang pada 8 Disember tahun lepas di tepi jalan di Jalan Semarak, Kuala Nerus iaitu dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu dua unit projektor jenama Acer berwarna hitam berserta kabel wayar.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama iaitu melupuskan harta curi iaitu seunit projektor jenama sama berwarna hitam berserta kabel wayar di sebuah bangunan kedai di Jalan Batas Baru di sini pada jam 1.42 petang, 9 Disember tahun lepas.

Selain itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan melupuskan seunit projektor jenama sama berwarna hitam berserta kabel di tepi jalan berhadapan kedai makan di Wakaf Tengah, Kuala Nerus pada jam 8.02 malam pada 14 Disember tahun lepas.

Tertuduh juga didakwa mengulangi kesalahan sama dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu dua unit projektor jenama Acer berwarna hitam berserta kabel wayar di tempat parkir kereta berhadapan pasar raya di sini pada jam 3.45 petang, 16 Disember tahun lepas.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan empat kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, Nordiana menjatuhi hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Artikel Berkaitan: