Ketua UMNO Hulu Langat positif Covid-19

Johan Abd Aziz
Johan Abd Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz mengesahkan beliau positif Covid-19.

Astro Awani pada Ahad melaporkan seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menghadiri mesyuarat parti di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) Janda Baik, Pahang pada Jumaat lalu dilaporkan dijangkiti wabak tersebut.

Johan yang juga Bendahari Badan Perhubungan UMNO Selangor ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu pada Ahad.

"Yes (Ya)," balasnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan beliau tidak berhasil selepas pertanyaan tersebut tidak dibalas.

Difahamkan, beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang turut menghadiri Mesyuarat MKT UMNO berkenaan segera melakukan ujian saringan sebaik menerima maklumat terdapat kes positif Covid-19 membabitkan ahli mesyuarat.

Antara pemimpin yang menghadiri mesyuarat MKT berkenaan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang ahli MKT UMNO positif Covid-19

Artikel Berkaitan: