Calon SPM positif Covid-19 di Kelantan tidak duduki peperiksaan esok

Dr Izani ketika ditemui pemberita di pejabatnya di SUK pada Ahad.
Dr Izani ketika ditemui pemberita di pejabatnya di SUK pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kesemua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih dikuarantin akibat Covid-19 di Kelantan tidak akan menduduki peperiksaan pada Isnin ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, beliau dimaklumkan terdapat sekolah yang membatalkan peperiksaan tersebut.

"Dibatalkan dahulu dan akan dikumpulkan semula selepas tamat tempoh kuarantin untuk peperiksaan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Negeri di Kompleks Kota Darul Naim.

Pada Sabtu, media melaporkan seramai 41 calon SPM di sebuah sekolah asrama di Machang disahkan positif Covid-19.

Kesemua mereka dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan selepas disahkan positif wabak itu.

Mereka adalah kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Kelantan, Harun Yusof dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan seramai 27,719 calon akan menduduki SPM tahun 2020 bermula Isnin ini hingga 25 Mac depan.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu membabitkan 243 sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan Islam Kelantan, Maktab Rendah Sains Mara dan swasta dan berlangsung di 285 pusat peperiksaan.