Bandaraya Kuantan: Pahang komited ke arah komuniti minda kelas pertama

Wan Rosdy berucap pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah pada Ahad.
Wan Rosdy berucap pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya memberi impak besar terhadap aspek urus tadbir dan keseluruhan pembangunan daerah tersebut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Bandaraya Kuantan dijangka terus membangun dengan imej tersendiri sebagai bandar raya antarabangsa yang sarat dengan nilai, budaya, sejarah dan pembangunan ekonomi.

"Saya percaya perkhidmatan yang bakal disumbangkan adalah yang terbaik supaya dapat terus menyumbang kepada pembangunan yang bersifat lestari dan inklusif.

"Justeru kerajaan negeri komited dalam merangka strategi pembangunan demi membentuk komuniti bandar raya, yang memiliki minda kelas pertama menerusi usaha yang akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong isytihar Kuantan sebagai bandaraya

Wan Rosdy berkata, antara usaha yang akan dilaksanakan kerajaan negeri termasuk menyediakan perumahan berkualiti dan selesa dengan segala kemudahan prasarana atau kemudahan yang mencukupi.

"Menambah baik kawasan berfungsi sebagai pusat aktiviti fizikal, sosial dan kebudayaan, meningkatkan akses kepada penguasaan ilmu pengetahuan melalui pendidikan serta membangunkan komuniti sejahtera, sihat dan berdaya tahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, penarafan Kuantan sebagai bandar raya juga akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang bakal dinikmati penduduk setempat meliputi kawasan pinggir bandar dan bandar-bandar berhampiran seperti bandar Pekan dan Maran.

Wan Rosdy berkata, antara projek yang bakal menjadi pencetus perubahan khususnya di Kuantan ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 640 kilometer yang bakal menghubungkan dua pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.

Katanya, projek itu juga mampu menawarkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk tempatan termasuk penduduk Bandaraya Kuantan.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan beberapa pihak sangsi atas keupayaan Kuantan untuk memenuhi obligasi dan tanggungjawab baharunya, sebagai sebuah bandar raya.

"Sikap itu menjadi satu cabaran besar kepada semua namun rekod kejayaan cemerlang Kuantan di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebelum ini perlu disandarkan, bagi melihat keupayaan sebenarnya.

"MPK telah menerima pelbagai pengiktirafan antaranya diiktiraf sebagai pihak berkuasa tempatan terbaik di negara ini melalui Anugerah Bandar Mampan 2020 bagi kategori Majlis Perbandaran sempena Hari Perancang Bandar Sedunia Peringkat Kebangsaan," katanya.

Wan Rosdy berkata, anugerah itu amat bermakna kerana ia memberi gambaran Kuantan sebagai sebuah bandar yang sangat selesa, indah dan sesuai untuk didiami dan dikunjungi.

"Ia disokong dengan pengiktirafan Kuantan sebagai satu daripada 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia sempena Hari Kebahagiaan Sedunia 2020.

"MPK juga mencapai taraf lima bintang setiap tahun sejak 2015 di bawah Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia berkaitan ‘Doing Business’ di Malaysia tahun 2020, Kuantan menduduki tangga kedua dalam aspek memudahcarakan urusan permit pembinaan di Malaysia.

"MPK juga diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi beberapa anugerah antaranya Anugerah Pingat Emas ‘The International Awards Liveable Communities’ di Xianmen, China, Anugerah Pingat Emas pada ‘41st International Exhibition of Invention of Geneva' dan Anugerah Bandar Lestari Asean Kategori ‘Clean Water,’" katanya.