SPRM tahan tujuh kakitangan JPJ Johor, babit ketirisan RM3.1 juta

SPRM Johor menahan tujuh kakitangan JPJ untuk membantu siasatan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor, di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahrum, pada Ahad.
SPRM Johor menahan tujuh kakitangan JPJ untuk membantu siasatan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor, di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahrum, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Ahad bagi membantu siasatan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

Menurut sumber, mereka yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita yang berusia antara 27 hingga 42 tahun.

"Kesemua kakitangan yang ditahan tersebut bertugas di JPJ Negeri Johor. Mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Negeri Johor.

"Ketirisan kutipan tersebut mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019," jelas sumber tersebut pada Ahad.

Menurutnya lagi, kaunter hadapan JPJ dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Isu paling kerap berlaku ialah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama-sama SPRM Johor mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurut beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin bagi proses reman dan kes siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan itu bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

"SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

"Perkara ini telah dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah," katanya.

Bliau menyeru mana-mana pihak atau agensi untuk memberi maklumat kepada SPRM seperti yang dilakukan oleh pihak Ketua Pengarah JPJ ini.

Azam juga menyeru agar masyarakat yang berurusan di kaunter-kaunter jabatan untuk ambil peduli dan sentiasa memeriksa resit-resit selepas melakukan urusan di kaunter atau pun ejen-ejen yang dilantik.