20,000 B40 di Perak bakal terima telefon pintar

Saarani menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Pengerusi Nadi Sungai Siput, Dr S Shanmuga Velu.
Saarani menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Pengerusi Nadi Sungai Siput, Dr S Shanmuga Velu.
A
A
A

LENGGONG - Sebanyak 20,000 kumpulan isi rumah B40 di Perak akan dibekalkan telefon pintar bagi membantu proses pembelajaran secara dalam talian, seawal bulan depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pemberian itu merupakan kesinambungan di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani dengan kerjasama sebuah yayasan bagi mengupayakan pendidikan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

"Perbincangan bersama yayasan berkenaan telah diadakan sejak tiga minggu lalu dan akan dimuktamadkan minggu hadapan sebelum kita lancarkan pada Mac ini.

"Menerusi kerjasama ini, kita akan menyediakan telefon pintar bersama modul pelajaran yang disediakan yayasan berkenaan bagi membantu keluarga miskin yang tidak berkeupayaan menyediakan telefon pintar untuk anak-anak," katanya pada sidang media selepas Program Pecutan Akhir-Kelas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan Dalam Talian, di sini pada Ahad.

Program anjuran Pusat Khidmat ADUN Kota Tampan dengan kerjasama Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan (NADI) Sungai Siput turut dihadiri Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Mengulas lanjut Saarani berkata, meskipun sesi persekolahan secara keseluruhannya dibuka bermula bulan hadapan, kerajaan negeri tetap meneruskan program pemberian alat peranti terbabit.

Katanya, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri juga menyusun beberapa pelan bagi memperkasa program Tuisyen Cikgu Saarani antaranya sesi 'brainstorming' yang melibatkan beberapa tenaga pakar termasuk bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat sebagai pendidik.

"Mereka ini akan membincangkan satu modul khas untuk kita meneruskan program jangka panjang tuisyen ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan buat program motivasi keibubapaan, motivasi pelajar, perkhemahan dalam cuti untuk pelajar dan banyak lagi, bergantung kepada idea dan perbincangan dalam kumpulan 'brainstorming' tersebut," katanya.