Rasuah: Empat individu termasuk wakil peguam direman SPRM

Dua anggota SPRM Kedah membawa wanita dipercayai wakil peguam yang direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta wang RM18,000 untuk menarik balik satu kes.
Dua anggota SPRM Kedah membawa wanita dipercayai wakil peguam yang direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta wang RM18,000 untuk menarik balik satu kes.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wakil peguam antara empat individu yang ditahan reman pada Ahad bagi membantu siasatan kes meminta wang.

Penolong Pendaftar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim mengeluarkan perintah reman itu bermula Ahad hingga 26 Februari depan selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.

Pada Ahad, SPRM Kedah menahan lima individu terdiri daripada seorang wakil peguam, seorang anggota polis dan tiga orang awam yang berusia antara 26 dan 64 tahun bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, salah seorang orang awam yang ditahan hanya dirakamkan percakapan dan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Tangkapan itu dibuat susulan SPRM menerima aduan pada 4 Februari mengenai dakwaan meminta wang berjumlah RM18,000 berkaitan penyelesaian satu kes jenayah iaitu sebagai balasan untuk menarik balik aduan terhadap seorang pengadu dan rakan-rakannya.

Pengadu dipercayai membayar wang sebanyak RM3,000 kepada salah seorang suspek manakala baki RM15,000 akan dibayar sebelum Selasa ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan lima tangkapan dibuat namun salah seorang daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM manakala empat lagi ditahan reman pada Ahad.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (A) (a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: