Pesawat bawa kumpulan pertama vaksin selamat mendarat

Pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH604 yang membawa vaksin pertama untuk Malaysia, Pfizer-BioNTech selamat mendarat di KLIA pada 10.07 pagi. -Foto Bernama
Pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH604 yang membawa vaksin pertama untuk Malaysia, Pfizer-BioNTech selamat mendarat di KLIA pada 10.07 pagi. -Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH604 yang membawa vaksin pertama untuk Malaysia, Pfizer-BioNTech selamat mendarat di KLIA pada 10.07 pagi.

Pesawat MH604 membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 dan dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd.

Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah ketibaan vaksin tersebut adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

Perjalanan vaksin itu dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal itu dan DHL, peneraju dalam industri logistik melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Kementerian Kesihatan (KKM) mewakili kerajaan Malaysia telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Januari lepas (2021) untuk pembelian vaksin Pfizer-BioNTech itu setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lepas.