X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

Pusat kendali pertikaian

A
A

AKTA Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, antara lain menzahirkan inisiatif kerajaan membantu golongan sasaran yang menghadapi masalah akibat pandemik. Melalui akta itu, ditubuhkan Pusat Mediasi Covid-19 di mana untuk pertikaian tertentu ia boleh dikendalikan oleh Pusat Mediasi Covid-19 tanpa perlu ke mahkamah.

Pertikaian yang dimaksudkan adalah pertikaian melibatkan jumlah tidak melebihi RM500,000 yang berkaitan dengan sembilan kategori iaitu:

1. Kontrak pembinaan dan apa-apa kontrak lain berhubung dengan pembekal bahan, kelengkapan atau pekerja pembinaan.

2. Bon pelaksanaan atau seumpamanya yang diberikan merujuk suatu kontrak pembinaan atau perbekalan.

3. Kontrak acara bagi penyediaan mana-mana tempat, penginapan, kemudahan, pengangkutan, hiburan, katering atau barang atau perkhidmatan lain.

4. Kontrak oleh pengusaha pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dan kontrak bagi penggalakan pelancongan di Malaysia.

5. Kontrak perkhidmatan profesional.

6. Pajakan atau sewaan harta tak alih bukan kediaman.

7. Kontrak berhubung ziarah keagamaan.

8. Perjanjian sewa beli.

9. Kontrak jualan kredit.

Dalam pengumuman penubuhan Pusat Mediasi Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan pemohon di bawah kategori B40, M40 serta PKS Mikro dan Kecil layak menerima subsidi kos menampung khidmat pengantaraan itu.

Langkah kerajaan ini sangat dialu-alukan kerana pihak terkesan akibat Covid-19 khususnya bagi golongan B40 dan M40 tidak berkemampuan melantik peguam bagi menuntut hak mereka. Selain penyelesaian yang cepat, proses mediasi atau pengantaraan boleh mencapai keputusan menang-menang bagi kedua-dua belah pihak, tidak formal dan lebih mudah.

Ia juga sejajar dengan adab kita di Nusantara yang mementingkan perbincangan dan persetujuan dicapai. Perkara yang sama tidak akan dapat direalisasikan jika suatu tuntutan itu dibawa ke mahkamah kerana pasti keputusan kelak ada yang menang dan ada yang kalah.

Mediasi atau pengantaraan adalah suatu kaedah penyelesaian pertikaian yang semakin popular di negara-negara maju. Dalam Islam, mediasi atau sulh merupakan alternatif yang telah dianjurkan syariat bagi menyelesaikan perselisihan sesama insan, perbezaan ketara antara proses penghakiman di mahkamah dan mediasi adalah dari segi kerelaan orang yang bertelingkah.

Jika diteliti proses di mahkamah, pertelingkahan akan diputus oleh hakim. Kebiasaannya akan ada sebelah pihak tidak berpuas hati andai penghukuman itu tidak menyebelahinya, manakala dalam proses mediasi, kedua-dua pihak bertelagah akan bersama mencari jalan penyelesaian atas kerelaan dan persetujuan bersama.

Ia adalah suatu proses perundi-ngan terpimpin, tertutup dan terjaga, informal serta sukarela untuk menyelesaikan pertelingkahan dengan dibantu pihak ketiga yang neutral. Mediator tersebut bekerjasama dengan pihak bertelingkah bagi mencari jalan penyelesaian secara damai dan dipersetujui kedua-dua pihak tersebut.

Prosedur Mediasi boleh digunakan dalam pelbagai konteks terutama hubungan dan masalah komersial atau kekeluargaan. Mediasi bertujuan antara lain memberi sokongan terhadap sistem kehakiman yang tersedia ada dan alternatif kepada pihak yang ingin menyelesaikan pertelingkahan.

Mediasi membantu menyelesaikan kes tertangguh seperti kes berkaitan nafkah, harta sepencarian dan hadanah atau perubahan perintah berkaitan ketiga-tiga kes tersebut. Malah, kos yang rendah dalam melaksanakan mediasi menjadi tarikan untuk penyelesaian pertikaian melalui cara itu.

Berbalik kepada penubuhan Pusat Mediasi Covid-19, saya selaku Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mengucapkan syabas kepada kerajaan. Bagi mereka yang berminat mendapat khidmat di Pusat Mediasi Covid-19, bolehlah menghubungi pusat berkenaan atau melalui www.pmc19.gov.my.

* Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!