Akal, akhlak dalam berkarya

Sesebuah hasil karya yang besar dan dianggap agung dengan sendirinya menggambarkan intinya yang menyelami sedalamnya pandangan Islam.
Sesebuah hasil karya yang besar dan dianggap agung dengan sendirinya menggambarkan intinya yang menyelami sedalamnya pandangan Islam.
A
A
A

KEBUDAYAAN secara umumnya bermaksud hasil ciptaan akal budi insan sebagai suatu ikhtiar dalam menjalani kehidupan. Dalam faham Barat, agama ialah salah satu hasil kebudayaan. Justeru, kedudukan agama ditanggapi sama sahaja dengan produk manusia yang lain.

Jika fahaman kebudayaan Barat menjadikan agama sebagai hasil kebudayaan lalu menjajarkannya dengan hasil akal budi manusia yang lain, Islam menegaskan bahawa agamalah yang menjadi penghasil kepada kewujudan kebudayaan.

Perbezaan ini memberikan implikasi yang besar, khususnya dalam menanggapi konotasi terhadap takrifan sebenar kebudayaan. Hal ini berlaku demikian kerana segala bentuk kesusasteraan, termasuklah sajak, syair, pantun dan sebagainya ialah hasil kebudayaan. Oleh sebab agama Islam yang menghasilkan kebudayaannya, maka karya sastera dengan sendirinya menuruti tuntunan Islam. Lantaran itulah, karya sastera sebagai asasnya perlu mengandungi inti yang luhur, bersifat akliah, bernilai akhlakiah, dan selaras dengan ajaran agama Islam.

Kesusasteraan dalam Islam diberi nama adabiyat yang menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, menzahirkan kenyataan sebagai penyimpan peradaban, penampung ajaran-ajaran serta kenyataan-kenyataan yang mendidik diri dan masyarakat untuk menyerap adab sehingga mengangkat darjat manusia yang liar kepada manusia beradab.Bagaimana pula seseorang penulis itu mampu menghasilkan sesebuah karya sastera yang disyaratkan faham sastera sebagai adabiyat? Sastera adabiyat memerlukan seseorang penulis memiliki kewibawaan ilmu dan akhlak sebagai teras kepengarangan.

Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa sesebuah hasil karya yang besar dan dianggap agung dengan sendirinya menggambarkan intinya yang menyelami sedalamnya pandangan Islam bahawa yang dinamakan kehidupan itu bukan semata-mata bersifat kehidupan sekarang tetapi turut merangkumi kehidupan selepas mati.

Didik nafsu

Pengarang juga harus menyedari bahawa dunia yang wujud ini bukan sahaja dunia nyata tetapi juga merangkumi dunia-dunia lain yang berada dalam kedudukan dan kepentingannya masing-masing. Kewujudan manusia itu sendiri ialah satu hakikat ganda jiwa dan tubuh, gabungan aspek kebinatangan dan kemalaikatan. Dalam hal ini, nafsu kehaiwanan itu seharusnya dididik agar sentiasa tunduk kepada nafsu akal.

Sejarah manusia sebagai insan pula bukan setakat bermula saat dia dilahirkan sebaliknya pada Hari Alastu, yakni ketika jiwa setiap insan mengikrarkan Allah sebagai Tuhan. Ketinggian dan keluhuran nilai yang wujud ini bukan buatan manusia tetapi ditetapkan oleh wahyu yang tidak terikat oleh masa, kebudayaan, ataupun sejarah.

Artikel Berkaitan:

Seandainya kelompok penulis memahami hakikat bahawa pengetahuan ialah suatu harkat yang dapat dicapai dengan sumber-sumber ilmu yang dituntun oleh kenyataan tanzil, sudah pasti kenyataan seperti ini menjadikan karya-karya sastera bukan semata-mata peluahan emosi pengarang.

Tuntutan kepengarangan dan penegasan sastera adabiyat ini bukan semata-mata idealisme yang berkepak di awang-awangan, sebaliknya suatu realiti sejarah yang menjadi pengalaman banyak pengarang agung semenjak dahulu kala.

Meneliti karya-karya sastera seperti puisi-puisi agung tamadun Islam karangan Jalaluddin Rumi, Muhammad Iqbal, Attar, Sa’di dan beberapa orang lagi akan mengungkapkan gambaran ini dengan jelas. Ungkapan melalui puisi-puisi mereka bukan sahaja tidak menggambarkan suara yang subjektif hasil reduksi ke dalam diri yang dibentuk oleh nafs haiwaniyyah tetapi mengandungi nilai akliah dan akhlakiah yang tulus.

Jika kita mengkaji sejarah perkembangan kesusasteraan dalam konteks ketamadunan di wilayah Kepulauan Melayu-Indonesia, khususnya dari abad ke-16 sehingga abad ke-20, kita akan menemui juga karya-karya puisi yang menuturi pandangan Islam sebagai tunjang kehidupan, seperti puisi-puisi Hamzah Fansuri yang tidak sekadar memancarkan pengalaman baharu malah membentuk perspektif baharu masyarakat terhadap kehidupan.

Barat dan Islam

Dalam membahaskan kedudukan karya sastera dalam kebudayaan Barat dan Islam, pandangannya sudah pasti berbeza. Kedudukan dan hakikat sebuah karya juga berbeza kerana kebudayaan Barat itu membariskan agama dan seni sebagai hasil kebudayaan mereka, maka karya sastera juga mendapat hakikat yang relatif dan saling bertentangan. Berbeza dengan faham Islam yang dengan jelas menonjolkan bahawa agama Islam itu bukanlah dihasilkan oleh kebudayaan, sebaliknya Islamlah yang menghasilkan kebudayaan dan menjadi penilai mutlak untuk membentuk tunjang akal dan akhlak dalam diri seseorang pengarang.

Ada juga pandangan sinis yang dilontarkan apabila membicarakan seputar perkara ini. Rata-rata berpandangan kesemuanya bergantung kepada niat seseorang untuk menulis, adakah menulis sekadar menulis atau menulis untuk menyampaikan mesej kepada khalayak?

Soalan ini sebenarnya agak klise dan lapuk untuk dibahaskan kerana setiap manusia waima kelompok penulis pastinya mempunyai pandangan yang tersendiri. Seperti hantaran di media sosial yang dibuat oleh seorang penulis yang telah berkecimpung dalam bidang penulisan selama 30 tahun mendakwa bahawa dia hanya dibayar sebanyak RM15 untuk siaran sebuah sajaknya dalam akhbar tempatan.

Luahan penulis ini mendapat pelbagai maklum balas daripada kelompok penulis dan juga pembaca. Ada yang mengatakan langsung tidak pernah mendapat bayaran sepanjang karyanya tersiar, namun ada juga yang berkongsi bahawa mereka mendapat bayaran yang setimpal daripada karya-karya yang disiarkan. Malahan mereka mendapat pulangan berganda apabila karya-karya yang tersiar itu memenangi pula hadiah sastera atau sayembara yang diadakan.

Setiap pandangan ada sisi baik dan buruknya. Pelantar digital yang menyajikan pentas kepengarangan terbuka perlu diperan dengan bijak.

Penulis boleh membina jenama diri yang baik sekiranya penulisannya mampu menarik perhatian khalayak dan memberikan kebaikan kepada pembaca. Namun, harus diingat perkara sebaliknya juga boleh berlaku jika mereka alpa.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia.