X

Kindly register in order to view this article
!

Guru SMK Tunku Puan Habsah, Nur Farhana Pawanteh (kiri) melekatkan slip peperiksaan SPM 2020 pada meja sambil diperhatikan oleh Timbalan Pegawai Pengarah Daerah Sektor Pembangunan Murid, Fadzil Sadikin semasa melakukan persiapan pusat peperiksaan di sekolah berkenaan di Jalan Sepoy Lines. Gambar kecil: Mohd Azizie
A
A

SHAH ALAM - Berdepan tempoh getir akibat pandemik Covid-19, akhirnya seramai 401,105 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bakal menduduki peperiksaan paling mencabar dalam sejarah negara pada Isnin.

Berbaki tempoh kurang 24 jam, kesemua calon akan memulakan peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

SPM 2020 asalnya dijadualkan pada 5 Oktober sehingga 19 November sebelum ditunda ke 16 November hingga 7 Disember kemudian ke tarikh 22 Februari.

Kekuatan fizikal, mental dan emosi calon teruji namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya diharungi.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima terbabit mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan, namun pembelajaran bersemuka paling singkat − hanya sekitar empat bulan − semuanya gara-gara penularan pandemik Covid-19 yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype.

Calon-calon SPM ini serta mereka yang mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan menduduki peperiksaan tersebut di 3,310 pusat peperiksaan dalam persekitaran normal baharu dengan SOP yang ketat.

“Peperiksaan kali ini amat jauh bebeza (berbanding tahun-tahun sudah).

“SOP lebih ketat dan terperinci bagi memastikan anak-anak kita dapat menduduki peperiksaan dalam suasana tenang, selesa dan selamat,” kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP ini dipatuhi sepenuhnya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Puan Habsah, Farida Abdul Wahab (kanan) bersama penolong kanan Hal Ehwal Pelajar sekolah berkenaan, Mazidah Hashim menyusunkan meja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pelajar-pelajar sekolah berkenaan menduduki peperiksaan SPM 2020 esok.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Puan Habsah, Farida Abdul Wahab (kanan) bersama penolong kanan Hal Ehwal Pelajar sekolah berkenaan, Mazidah Hashim menyusunkan meja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pelajar-pelajar sekolah berkenaan menduduki peperiksaan SPM 2020 esok.

Persiapan rapi telah dilakukan bagi memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan terbabit,

Selain dewan utama, turut disediakan bilik alternatif bagi calon yang mungkin menunjukkan simptom Covid-19.

Turut disediakan kelas isolasi dan transit.

Sekiranya ada keperluan untuk dewan disanitasikan, calon akan dipindahkan ke bilik darjah yang disediakan bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan lancar.

Sementara itu, menurut Presiden Ikatan Guru Malaysia (iGuru), Mohd Azizie Hasan, pandemik Covid-19 menyebabkan calon SPM 2020 berdepan pelbagai cabaran luar biasa berbanding apa yang diharungi calon peperiksaan tahun terdahulu.

Bagaimanapun kata beliau, penangguhan selama sebulan daripada tarikh asal tetap memberi ruang masa tambahan kepada calon untuk mempersiapkan diri.

“Cabaran utama ialah calon dari kawasan berisiko tidak dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka, kekangan capaian internet serta kekurangan peranti gajet.

“Namun, guru-guru melakukan banyak usaha bagi membantu pelajar melalui ulang kaji pelajaran dengan menjawab latihan-latihan peperiksaan percubaan SPM bagi setiap negeri selain kelas tambahan.

“Sudah pasti SPM kali ini berbeza kerana berlangsung ketika pandemik melanda seluruh dunia namun Covid-19 bukan halangan kerana mereka semuanya hebat dan kuat. Saya yakin mereka sudah bersedia penuh,” ujarnya kepada Sinar Ahad.

Menurut Azizie, fisiologi dan psikologi memainkan peranan penting agar pelajar sentiasa dalam kondisi terbaik menghadapi sebarang tekanan.

“Pelajar-pelajar juga dilihat mengamalkan penjagaan kesihatan dan pemakanan sihat bagi membantu kecerdasan minda seperti kismis dan buah tamar,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!