X

Kindly register in order to view this article
!

Industri lama masih berguna

A
A

DALAM keadaan biasa pun, penutupan sebuah kilang tayar dengan 1,000 orang pekerja adalah peristiwa yang mendukacitakan. Mengikut demografi, penutupan sebuah kilang dengan bilangan pekerja sebanyak itu boleh memberi kesan kepada 3,000 orang tanggungan.

Jadi, apabila ia berlaku dalam suasana ekonomi yang buruk seperti sekarang, ia menjadi satu tragedi. Dalam keadaan biasa, pekerja yang hilang pekerjaan boleh mendapat kerja baharu dengan mudah. Yang saya maksudkan di sini adalah pemberitahuan mengenai rancangan syarikat Toyo Tires hendak menutup kilang tayarnya di kawasan perindustrian Kamunting, Perak pada Jun ini. Kilang itu diberitakan telah beroperasi selama 30 tahun.

Sesiapa pun yang biasa atau mengenali kawasan perindustrian Kamunting, akan mengetahui bahawa ia adalah antara kawasan perindustrian tertua dan paling berjaya di Malaysia. Ia adalah contoh kejayaan perindustrian negara kita yang bermula secara kecil-kecilan pada pertengahan 1960-an dengan membabitkan kegiatan memproses bahan mentah tempatan dan mengeluarkan barang gantian import.

Di situ ada kilang memproses minyak kelapa sawit, timah, getah, balak, memintal benang kapas dan membuat tekstil serta pakaian. Tidak salah kalau dikatakan kawasan perindustrian itu telah menyelamatkan ekonomi kawasan sekitar, khususnya bandar bersejarah Taiping daripada kesan buruk kehabi-san sumber bijih timah dan kemelese-tan harga getah pada 1960-an dan 1970-an.

Kebijaksanaan kepemimpinan negara ketika itu memulakan transformasi ekonomi daripada pertanian, perlombongan dan pembalakan kepada pembinaan infrastruktur asas, pengi-langan dan perkhidmatan bukan sahaja menyelamatkan ekonomi negara tetapi turut memperkukuhkannya.

Malangnya, dalam tempoh panjang itu tidak banyak usaha dilakukan untuk mengubah dan memodenkan kawasan perindustrian lama seperti Kamunting agar selari dengan perubahan masa. Banyak kali saya memberi amaran kepada kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) agar tidak mengabaikan kawasan industri lama atau menyisihkan industri pembuatan asas semata-mata kerana mahu menggalakkan industri teknologi tinggi.

Bukan semua pekerja kita boleh dilatih semula untuk bekerja dalam industri canggih atau bersedia berpindah ke kawasan industri yang jauh dari kampung halaman. Mengambil contoh kawasan perindustrian Kamunting, ia terbukti amat berguna kepada penduduk di sekitarnya seperti Selama, Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Bagan Serai.

Pembangunan kawasan perindustrian luar bandar dan pedalaman seperti Kamunting diwujudkan sebagai sebahagian dasar penyuraian industri supaya tidak bertumpu di satu-satu tempat sahaja dan pada masa sama memberi peluang kepada kawasan luar bandar menikmati pembangunan perindustrian.

Melihat ke hadapan, kita kena mulakan dengan mengakui kelemahan, kesilapan dan kealpaan kita menangani perubahan struktur pengeluaran dan guna tenaga. Kita kena berhenti daripada bersikap sombong, lalai dan memandang rendah kemampuan jiran-ji-ran kita. Kira-kira 30 tahun lalu, kita mendahului jiran kita di Asean kecuali Singapura dalam perindustrian. Kita bangga dengan projek kereta nasional dan industri elektronik kelas dunia tetapi kita terlupa bahawa dunia juga sedang melalui perubahan sistem pengeluaran dan teknologi sangat pesat.

Malangnya, kita lalai atau terlupa bahawa industri automatif sedang melalui revolusi baharu dan kita gagal mengambil kesempatan daripadanya.Dalam masa tidak sampai dua dekad, Thailand muncul mengatasi kita sebagai pusat pengeluaran automatif serantau. Malah, Indonesia pun berjaya membangunkan industri automatif yang jauh lebih berpotensi. Dalam kita mengejar industri canggih dan bernilai tinggi, kita tidak boleh mengetepikan begitu sahaja industri-industri smoke stack yang masih memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sekali lagi saya ingin menyatakan apa guna kita mempunyai menteri berkaitan ekonomi, kewangan, perindustrian dan teknologi yang ramai jika kilang-kilang terus ditutup dan pelabur berduyun-duyun meninggalkan Malaysia. Kita kena berhenti bercakap besar dan bercakap tidak serupa bikin kalau kita mahu kembali bersaing dalam bidang ekonomi. Wallahua’lam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!