Rampasan kuasa di Myanmar

A
A
A

RAMPASAN kuasa tentera di Myanmar pada 1 Februari 2021 telah mengundang reaksi antarabangsa daripada pelbagai pihak sama ada secara bilateral dan multilateral. Reaksi bilateral datang dari negara individu seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, India dan New Zealand, manakala reaksi multilateral pula daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan Kesatuan Eropah.

Sejurus rampasan kuasa tentera berlaku di Myanmar, ASEAN sebagai sebuah pertubuhan rantau Asia Tenggara telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia prihatin dengan perkembangan yang berlaku. ASEAN telah menggesa prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN merangkumi demokrasi, kedaulatan undang-undang dan pemerintahan yang baik, penghormatan dan perlindungan hak asasi manusia serta kebebasan asasi di-patuhi. ASEAN juga mendorong dialog, perdamaian dan kembali normal sejajar dengan kehendak serta kepentingan rakyat Myanmar.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta telah menyarankan ASEAN mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkembangan politik di Myanmar. Joko menegaskan agar jalan penyelesaian melalui perundangan sejajar dengan Piagam ASEAN dapat dicapai. Muhyiddin pula berkata, apa yang berlaku di Myanmar adalah ‘langkah kebelakang’ dan beliau turut melahirkan kebimbangan rampasan kuasa di Myanmar akan menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi menghadap Sultan Hassanal Bolkiah di Brunei selaku Pengerusi ASEAN bagi membincangkan usaha yang boleh dilakukan ASEAN. Retno turut berkomunikasi dengan menteri luar negeri dan rakan sejawatnya di India, Australia, Jepun dan Britain serta dengan Perutusan Khas PBB untuk Myanmar, Christine Schraner Burgener.

Selain Malaysia dan Indonesia, Singapura serta Filipina juga telah menunjukkan perhatian dalam isu rampasan kuasa di Myanmar. Menteri Luar Singapura, Vivan Balakrishnan melahirkan dukacita dengan rintihan penduduk Myanmar apabila pihak tentera telah melepaskan tembakan ke atas mereka yang memprotes supaya demokrasi dapat dipulihkan. Balakrishnan juga bimbang dengan tindakan kerajaan tentera Myanmar untuk menyekat jalinan internet supaya informasi tidak dapat disalurkan.

Balakrishnan juga berpendapat seka-tan ekonomi secara umum tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, sebaliknya penduduk yang akan mengalami kesengsaraan. Singapura mempunyai kepentingan ekonomi di Myanmar kerana Singapura pelabur besar dalam kalangan anggota ASEAN.

Filipina pada asalnya tidak mahu komited dengan menyatakan bahawa rampasan kuasa di Myanmar adalah isu dalaman. Namun, Filipina mengubah pendirian apabila Setiausaha Luar, Teodoro Locsin Jr telah memberi sokongan kepada Aung San Suu Kyi dan menuntut agar beliau dibebaskan. Namun, bukan semua pemimpin ASEAN mempunyai pendapat sama. Pemimpin dari Thailand dan Kemboja menganggap rampasan kuasa tentera sebagai isu dalaman Myanmar dan perlu ditangani secara domestik.

Walaupun ASEAN mengamalkan prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara ahli, namun rampasan kuasa di Myanmar bukan lagi isu domestik kerana ia telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Pergola-kan politik di Myanmar pasti akan menyebabkan ketidakstabilan di rantau Asia Tenggara, misalnya masalah pelarian Rohingya dan konflik etnik di Myanmar dijangka bertambah kritikal di bawah pemerintahan junta tentera. Negara jiran seperti Bangaladesh dan Thailand termasuk Malaysia pasti akan berdepan masalah pelarian Rohingya.

Artikel Berkaitan:

Berbanding reaksi negara Barat seperti AS, Britain dan anggota Kesatuan Eropah yang lantang mengkritik kerajaan tentera Myanmar dan mengancam mengenakan sekatan ekonomi, reaksi negara ASEAN lebih bersifat sederhana. Justeru, ASEAN harus mengambil langkah seimbang iaitu perlu tegas dengan pendirian tidak menyokong tindakan rampasan kuasa kerana bertentangan dengan prinsip Piagam ASEAN. Namun, ASEAN juga tidak boleh terlalu berkeras sehingga menyebabkan Myanmar menyisihkan diri dan enggan mengadakan sebarang dialog membina dengan ASEAN.

Pergolakan politik di Myanmar pasti akan menyebabkan ketidakstabilan di rantau Asia Tenggara.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya