Permudah daftar suntikan vaksin

Kira-kira 107 negara dan wilayah telah diberikan lebih 200 juta dos vaksin termasuk dihasilkan Pfizer-BioNTech. - Foto AFP
Kira-kira 107 negara dan wilayah telah diberikan lebih 200 juta dos vaksin termasuk dihasilkan Pfizer-BioNTech. - Foto AFP
A
A
A

KRISIS pandemik Covid-19 yang mengundang ancaman buruk kepada kelangsungan hidup rakyat jelata, kelancaran ekonomi dan kestabilan politik akan surut secara berperingkat apabila Program Imunisasi Kebangsaan itu diimplementasikan nanti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini telah mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Mac depan akan mula membuka pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara percuma.

Prosedur pendaftaran mendapatkan vaksin itu turut dibuat melalui lima kaedah iaitu dalam talian ataupun secara manual.

Pendaftaran menerusi talian melibatkan aplikasi MySejahtera dan laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.

Secara manual pula termasuk menghubungi talian hotline, hadir ke klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Kolum lidah pengarang akhbar harian Malaysia Nanban mengesyorkan bahawa pihak kerajaan dan KKM wajar melaksanakan proses pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang mudah serta selamat.

Menurut Malaysia Nanban, selepas 11 bulan Malaysia dilanda pandemik Covid-19, kini baru ada nafas kelegaan apabila pihak kerajaan membuka pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin secara percuma yang turut menjadi berita baik untuk semua lapisan masyarakat.

Justeru, pelan Program Imunisasi Kebangsaan itu akan dijalankan dalam skala yang besar, proses pendaftaran harus dibuat dengan kaedah mudah dicapai rakyat di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Pendaftaran mendapatkan vaksin percuma tersebut juga boleh tertumpu di bangunan kerajaan, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), majlis daerah, majlis perbandaran dan dewan bandaraya.

Pihak kerajaan perlu mengambil langkah bijak dalam menyediakan kemudahan-kemudahan seumpama itu supaya orang ramai dengan senang dan selesa dapat membuat pendaftaran suntikan vaksin berkenaan.

Malaysia Nanban menjelaskan bahawa sebilangan rakyat Malaysia masih terpinggir daripada dunia internet dan gajet pintar.

Oleh sebab itu, harapan untuk melaksanakan pendaftaran secara dalam talian agak tipis dan kaedah alternatif bersifat manual amat diperlukan agar Program Imunisasi Kebangsaan dapat diimplementasikan dengan jayanya.

Akhbar Tamil itu turut meminta KKM agar sejurus selesai proses pendaftaran mendapatkan vaksin berkenaan, satu surat pengesahan wajib dihantar kepada orang ramai agar mereka sedar pendaftaran tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan bagi fasa pertama dijangka bermula pada 26 Februari ini dengan kira-kira 26.5 juta individu bakal menerima suntikan vaksin daripada syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech secara percuma.

Malaysia Nanban menaruh harapan agar Program Imunisasi Kebangsaan berjalan dengan lancar dan setiap individu berisiko tinggi mahupun yang bukan berisiko, diberi peluang untuk mendapatkan vaksin percuma itu bagi menjamin survival Malaysia serta rakyatnya.

Proses pendaftaran mendapatkan vaksin Covid-19 secara percuma harus dibuat dengan kaedah mudah dicapai rakyat di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor