KPDNHEP serbu premis pindah gas haram

Antara tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
Antara tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
A
A
A

SEPANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti pemindahan gas petroleum cecair bersubsidi ke gas petroleum cecair (LPG) industri di kawasan perindustrian di sini pada Jumaat.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi dijalankan sepasukan penguatkuasa dari pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang kira-kira jam 10.30 malam.

"Serbuan yang dilakukan adalah hasil daripada makluman awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh Seksyen Penguat Kuasa pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang Selangor.

"Risikan mendapati terdapat aktiviti mencurigakan yang dijalankan berikutan terdapat hampir setiap hari lori membawa gas petroleum cecair keluar dan masuk ke premis berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, tiga warga asing ditahan ketika sedang leka mengalihkan silinder LPG untuk proses pemindahan(Decanting)

"Ketiga suspek berkenaan memaklumkan hanya pekerja di premis berkenaan dan premis haram berkenaan telah beroperasi sejak 2 bulan yang lalu.

"Gas petroleum cecair bersubsidi yang telah disalin kulitnya dipasarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang iaitu ke kilang-kilang dan juga restoran makanan dan minuman dengan keuntungan yang berlipat kali ganda," katanya.

Menurutnya, premis berkenaan dikatakan menerima anggaran sejumlah 900 silinder gas petroleum bersubsidi setiap bulan bagi tujuan pemindahan ke silinder industri.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis, pasukan serbuan telah menemui sejumlah 39 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14 kilogram yang berisi, 95 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14k kilogram yang tidak berisi, 30 silinder gas petroleum cecair 50 kilogram berisi serta 80 silinder gas petroleum cecair 50 kilogram tidak berisi.

"Sebuah lori turut disita dalam operasi yang dijalankan, lori ini dipercayai digunakan untuk mengangkut gas petroleum cecair bersubsidi berkenaan serta peralatan pemindahan gas petroleum cecair seperti sambungan paip, penimbang digital dan ketulan-ketulan ais yang digunakan sebagai proses tindak balas tekanan untuk menarik isi kandungan gas petroleum cecair bersubsidi ke silinder industri," katanya.

Jelasnya, nilai rampasan bagi kesemua barangan yang disita mencecah hampir RM40,000.

"Turut ditemui di lokasi kejadian adalah dokumen kebenaran bagi merentas negeri bagi tujuan penghantaran LPG ini.

"Gas petroleum cecair bersubsidi ini disyaki dibekalkan oleh pembekal yang berpengkalan di Negeri Sembilan berdasarkan dokumen terbabit.

Kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.