Perhimpunan ICERD: DBKL tunggu keputusan Kabinet

Nor Hisham (kanan) bersama Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun melihat lukisan moral yang terdapat di dinding ketika Majlis Pembukaan Semula Lorong Belakang Hang Kasturi, Lorong Bandar 13 dan Lorong Sisi Jalan Yap Ah Loy hari ini. - Foto Bernama
Nor Hisham (kanan) bersama Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun melihat lukisan moral yang terdapat di dinding ketika Majlis Pembukaan Semula Lorong Belakang Hang Kasturi, Lorong Bandar 13 dan Lorong Sisi Jalan Yap Ah Loy hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunggu keputusan Kabinet mengenai pihak yang masih berdegil mahu mengadakan perhimpunan mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sungguhpun kerajaan telah mengumumkan tidak meratifikasi ICERD.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima permohonan permit daripada mana-mana pihak penganjur berkenaan perhimpunan yang dirancang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 8 Dis ini.

"Tak ada... (Mereka dah ada permit?) Belum. Kami akan tunggu daripada Kabinet nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Bersama Agensi Sahabat sempena Hari Penguatkuasa ke 49 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas satu perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan anggota PAS dan UMNO yang tetap akan diteruskan walaupun kerajaan membatalkan hasrat untuk meratifikasi ICERD pada Jumaat lalu.

Sabtu lalu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik laporan berkata perhimpunan pada 8 Disember ini akan tetap diteruskan dengan jumlah yang lebih besar lagi.
Artikel Berkaitan:


Ahad lalu Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad menegaskan perhimpunan itu tetap tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka jika melibatkan penyertaan sejuta orang kerana lokasinya tidak boleh menampung terlalu ramai peserta.

Sementara itu, Nor Hisham dalam ucapannya berkata bagi menjadikan ibu kota sebagai bandaraya bertaraf dunia pada tahun 2020, budaya bekerja sebagai satu pasukan serta kerjasama antara DBKL dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting.

"Sebagai contoh, menerusi beberapa siri operasi yang dikendalikan bersama Kementerian Wilayah, DBKL serta agensi-agensi lain, ia jelas memperlihatkan keberkesanan dan kecekapan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu," katanya. - Bernama