Kumpulan pertama vaksin Covid-19 tiba di KLIA jam 10 pagi esok

Pesawat Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines akan membawa vaksin Pfizer-BioNTech ke Zon Bebas Komersil (FKZ) MasKargo KLIA.- Foto Bernama
Pesawat Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines akan membawa vaksin Pfizer-BioNTech ke Zon Bebas Komersil (FKZ) MasKargo KLIA.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi Ahad melalui penerbangan MH604.

Menurut laman web pengesan penerbangan Flightradar24, penerbangan yang dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) itu dijadual berlepas dari Singapura pada jam 9 pagi.

Kesemua 312,390 dos vaksin itu diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Perjalanan vaksin tersebut dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.

"Vaksin berkenaan berlepas dari Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

"Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin tersebut akan dikendalikan DHL Express yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer-BioNTech di peringkat global," menurut laman web tersebut pada Sabtu.

Antara kenamaan yang dijadualkan hadir untuk menyambut vaksin di KLIA ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Januari lalu untuk pembelian vaksin berkenaan setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun lalu.

Malaysia akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Februari ini dan ia akan bermula dengan suntikan sulung yang akan diterima Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama petugas barisan hadapan.