Contohi integriti Rasululllah SAW

Rohani Mohd Shahir. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Rohani Mohd Shahir. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM – Keperibadian tinggi Nabi Muhammad SAW harus menjadi pedoman umat Islam, termasuk berintegriti dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

Menurut Pengerusi Yayasan Wakaf Antarabangsa Khadijah (KIWF), Rohani Mohd Shahir, Rasulullah SAW menjadi ikon dan teladan terbaik sepanjang zaman, malah empat sifat wajib bagi nabi serta rasul perlu diletakkan sebagai ciri penting yang perlu diikuti umat Islam.

“Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah sehingga digelar Al-Amin.

“Baginda menjadi ahli perniagaan, tidak menipu dalam caranya berniaga, melakukan kerja sepenuhnya dengan baik yang mana boleh menjadi contoh.

“Akhlak Baginda sangat berharga dan perlu dihayati untuk diteladani serta diaplikasikan dalam kehidupan kerana setiap individu perlu amanah dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan walaupun sekecil-kecil tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran siri ke-90 bertajuk ‘Living up integrity’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Dari kiri: Fazrul; Rohani bersama Mohd Daud dan Ahmad Tirmizi (kanan) semasa program Wacana Al-Quran siri ke-90 bertajuk ‘Living up integrity’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Fazrul; Rohani bersama Mohd Daud dan Ahmad Tirmizi (kanan) semasa program Wacana Al-Quran siri ke-90 bertajuk ‘Living up integrity’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Program diskusi dalam bahasa Inggeris itu turut menampilkan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan surah Al-Ahzab ayat 70 hingga 72.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Presiden Yayasan Kepimpinan Mawar berkata, nilai integriti dalam masyarakat Islam terutama di Malaysia semakin terhakis.

“Kejujuran dalam konteks kenegaraan hari ini dapat dinilai melalui ketinggian integriti seseorang. Integriti adalah kewibawaan untuk berpegang kepada kebenaran pada setiap waktu walaupun kebenaran itu pahit.

“Seorang yang berintegriti akan berpegang teguh kepada prinsip kejujuran serta mempunyai prinsip moral yang tinggi. Mereka sentiasa takut kepada ALLAH SWT kerana Dia sering memerhatikan segala perlakuan dan perbuatan kita.

“Dalam erti kata lain, integriti meletakkan prinsip kehidupan seseorang mengikuti satu standard dan kepercayaan yang tinggi pada setiap masa meskipun tiada sesiapa yang memerhati atau mengetahui,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani berkata, nilai intergiti dalam masyarakat boleh disemai bermula daripada sebuah keluarga.

“Ketua keluarga perlu menghidupkan majlis taklim bersama isteri dan anak-anak dengan berkongsi tentang kepentingan nilai integriti, amanah dan jujur dalam kehidupan seharian.

“Bila sudah faham apa yang ALLAH suruh dan larang, Insya-ALLAH, kita boleh kekalkan nilai itu dalam diri masing-masing.

“Isteri juga perlu memainkan peranan sebagai ‘check and balance’ dalam keluarga. Kena tahu sumber pendapatan si suami, adakah ia daripada sumber yang halal atau sebaliknya sebab kita tidak mahu di audit dengan ALLAH di akhirat nanti,” katanya.