10 sekolah rosak angkara monyet

Saifuddin (kanan) bertanya sesuatu kepada guru yang hadir pada penyampaian sumbangan dana PIBG kepada 46 sekolah di kawasan Parlimen Indera Mahkota di Pejabat di Indera Mahkota, Kuantan pada Sabtu.
Saifuddin (kanan) bertanya sesuatu kepada guru yang hadir pada penyampaian sumbangan dana PIBG kepada 46 sekolah di kawasan Parlimen Indera Mahkota di Pejabat di Indera Mahkota, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 10 sekolah dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota di sini rosak akibat diserang monyet ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi itu menyebabkan aset-aset sekolah terbabit rosak dan pihak sekolah terpaksa menanggung kerugian.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu diketahui beliau apabila menerima 10 permohonan bantuan daripada sekolah di kawasan Parlimen itu bagi membaiki bumbung dan peralatan sekolah yang rosak akibat diserang monyet liar.

Beliau berkata, masalah membabitkan monyet liar diterima sejak tahun lalu dan sudah mendapat kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan menyediakan perangkap di kawasan sekolah.

"Saya difahamkan, terdapat 10 sekolah yang alami masalah monyet liar di mana bumbung atau atap sekolah dan peralatan sekolah rosak akibat perbuatan haiwan itu. Ada sebuah sekolah telah belanjakan hampir RM74,000 untuk membaiki kerosakan yang dialami.

"Jadi, pihak kita akan bantu sekolah yang mengalami masalah ini dalam masa terdekat. Kita akan berbincang dengan Perhilitan bagaimana hendak menangani masalah monyet liar ini," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada 46 sekolah di kawasan Parlimen Indera Mahkota di Pejabat di Indera Mahkota dekat sini pada Sabtu.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pada tahun lalu, sebanyak lima buah sekolah dalam Parlimen itu telah diserang monyet mendorong Perhilitan menyediakan sangkar perangkap.

Bagaimanapun katanya, jumlah sekolah yang diserang semakin meningkat pada tahun ini berkemungkinan kerana sekolah tersebut terlalu lama tidak berpenghuni.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada PIBG di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota untuk menjalankan aktiviti di sekolah.

Katanya, agihan wang itu diberikan kerana sekolah akan dibuka secara berperingkat pada Mac depan.

"Kita harapkan peruntukan yang disalurkan itu dapat digunakan sebaik mungkin," katanya.