'Tak timbul isu Pas perlu pilih MN atau PN'

Ahmad Yunus Hairi
Ahmad Yunus Hairi
A
A
A

SHAH ALAM - “Tidak timbul isu sama ada Pas perlu memilih (gagasan kerjasama) Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN),” kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau sebaliknya berkata, Pas mahu MN terus diperkasakan dan kerajaan PN dipertahankan menerusi gabungan PN Plus supaya kerajaan dapat dibentuk dalam keadaan lebih selesa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pas dan UMNO merupakan pengasas dan tonggak utama MN yang dimeterai, maka tidak timbul isu Pas perlu memilih sama ada MN atau PN.

“Sepatutnya tiada pemimpin yang berjiwa besar dan bijaksana membawa naratif MN di ambang perceraian atau mempertikaikan keikhlasan Pas dalam koliasi MN,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dr Ahmad Yunus berkata, pemimpin-pemimpin parti politik Melayu Islam harus sedar dan berusaha bersama dalam mengukuh dan memperkasakan muafakat bersama demi masa depan serta kepentingan politik dan pembangunan negara.

“Saya mengharapkan Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohammad Khir Toyo terus tumpu untuk memperkukuhkan bersama perpaduan Melayu dan Islam serta tidak terlalu terikut rentak musuh,” katanya.

Tambah beliau, Pas Selangor akan terus memacu perpaduan ummah dan itu telah dibuktikan dengan pertemuan bersama pemimpin Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor di Shah Alam baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pimpinan UMNO, Pas dan Bersatu Selangor adakan pertemuan

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa Pas menyatakan pendirian sama ada mahu terus bersama MN atau PN dalam menghadapi PRU15.

Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, di sebalik kesukaran Pas memuktamadkan kerjasama dengan UMNO, beliau berpandangan pucuk kepimpinan UMNO masih beranggapan MN wujud.

Menurutnya, UMNO masih menunggu jawapan Pas sehingga tibanya PRU15 kerana parti itu sedar koalisi MN adalah satu kekuatan besar yang harus direalisasikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sukar pertahan MN, jika Pas terus main tarik tali: Mat Taib