First Support Point bantu mangsa keganasan rumahtangga

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN- Pulau Pinang melancarkan khidmat sokongan, First Support Point dalam usaha untuk menangani dan membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengambil kira keperluan dan kepentingan semasa, kerajaan negeri tekad untuk meneruskan usaha tersebut dalam memberi perlindungan serta membasmi perilaku tidak sihat sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni untuk keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, selaras dengan Dasar Keluarga Selamat yang diperkenalkan kerajaan negeri, First Support Point adalah langkah awal dalam mewujudkan khidmat sokongan bagi menangani dan membanteras kes keganasan rumahtangga.

Tambahnya, kes keganasan rumahtangga telah menunjukkan peningkatan statistik yang amat membimbangkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

"Selaras dengan Visi Penang 2030, kerajaan negeri berazam untuk membina satu ekosistem yang selamat untuk semua keluarga di negeri ini melalui khidmat sokongan, First Support Point.

"Rangkaian yang menyeluruh ini dapat memberi lebih banyak akses bagi memudahkan mangsa yang terlibat untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, situasi pandemik Covid-19 telah mengehadkan pergerakan rakyat untuk mendapat bantuan.

"Bukan semua orang boleh mencari bantuan ke hospital, balai polis ataupun pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terletak jauh dari kediaman mereka.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, dengan mewujudkan lebih banyak tapak sokongan (support points), saya yakin mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dapat mendapatkan bantuan dengan lebih efektif," katanya.

Terdahulu, Kon Yeow menyampaikan watikah kepada 40 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang telah dilantik secara automatik sebagai First Support Point secara dalam talian.

Jelasnya, dalam merealisasikan First Support Point, pegawai kerajaan, pegawai seranta Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini telah menghadiri Bengkel Dasar Keluarga Selamat pada tahun lalu sebagai latihan.

"Kerajaan negeri telah mewujudkan First Support Point, iaitu usaha triparte antara pihak kerajaan, komuniti akar umbi dan NGO untuk memberi sokongan kepada mangsa.

"First Support Point ini ditubuhkan oleh agensi kerajaan, pejabat agama, Pusat Khidmat ADUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), NGO dan pertubuhan agama.

"Peranan First Support Point adalah untuk menyalurkan kes-kes keganasan rumah tangga kepada agensi yang bersesuaian secara bersistematik," katanya.