'KPM, sampai bila mahu terus begini?'

Firzan Hakimi
Firzan Hakimi
A
A
A

PETALING JAYA - Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka kembali sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac depan didakwa sebagai tindakan terburu-buru kerana hanya diputuskan dalam tempoh masa singkat iaitu tujuh hari sebelum sesi persekolahan dibuka.

Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Firzan Hakimi berkata, pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dijadualkan tamat pada 18 Februari dikekalkan di empat negeri bermula 19 Februari hingga 4 Mac.

Menurutnya, secara tidak langsung ia bermakna sesi persekolahan di empat negeri berkenaan dibuka dalam keadaan PKP belum tamat sepenuhnya dan lebih malang lagi apabila ia melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua.

“Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin membuat kenyataan yang menambah beban rakyat apabila mengumumkan sekolah di bawah KPM bagi sesi pembelajaran bersemuka akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

“KPM, sampai bila mahu terus begini? Ini merupakan satu keputusan dan tindakan yang terburu-buru kerana ia diputuskan dalam tempoh singkat iaitu tujuh hari sebelum sesi persekolahan dibuka,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Firzan yang juga Ketua Penerangan Angkata Muda Keadilan (AMK) Damansara berkata, bertambah parah apabila sebelum ini sebahagian besar ibu bapa dan penjaga terpaksa berusaha bagi mendapatkan peranti digital yang sesuai bagi memastikan pembelajaran anak mereka berjalan lancar.

“Setelah hampir setahun, anak-anak mengalami kesukaran dalam meneruskan pembelajaran dalam talian, jangan pula bebankan mereka dengan mengambil risiko dijangkiti penularan wabak Covid-19 sejurus sesi persekolahan ini dibuka.

“Saya minta kerajaan khususnya KPM menelusuri dan mengkaji semula arahan diputuskan supaya dapat meringankan beban ibu bapa yang sudah bertungkus-lumus bekerja keras untuk menyediakan ruang dan alatan kondusif serta efektif buat anak-anak mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan sekolah di bawah KPM bagi sesi pembelajaran bersemuka akan dibuka bermula secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan kembali ke sekolah pada tarikh tersebut.

Bagi murid sekolah rendah Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam pula akan bermula pada 8 Mac ini.