Kecam guru mengajar dalam bahasa Inggeris tindakan buli siber

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Tindakan mengecam dan mempersendakan seorang guru wanita yang berbahasa Inggeris ketika mengajar subjek Sains di saluran DidikTV merupakan satu perbuatan buli siber.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana guru terbabit hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.

"Saya simpati dengan guru terbabit. Beliau dihentam teruk oleh netizen sedangkan beliau bukan seorang pelakon. Beliau juga tiada latihan untuk buat penggambaran dan tidak sepatutnya hentam terus sedemikian.

"Ini adalah satu perkara baharu dan sudah pasti ada kelemahan, tetapi diberikan kritikan negatif seperti itu. Jadi saya anggap perbuatan (netizen) ini adalah satu buli siber kepada guru wanita itu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada 46 sekolah di kawasan Parlimen Indera Mahkota di Pejabat di Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, video guru wanita yang menggunakan bahasa Inggeris ketika mengajar subjek Sains untuk pelajar Tahun Dua di saluran DidikTv dijadikan bahan jenaka berikutan cara penyampaian dan sebutannya.

Penyampai radio Hitz FM, Yusuf Shukri turut mempersendakannya dan memuat naik video menerusi TikTok sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bagaimanapun, penyampai radio berkenaan sudah membuat permohonan maaf namun kini digantung tugas sementara siasatan dalaman dilakukan syarikat radio terbabit.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Saifuddin berkata, kementeriannya bersedia berkongsi kepakaran dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari segi penyediaan kandungan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walaupun saluran itu bukan di bawah saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), namun pihaknya bersedia bantu menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Kita ada kepakaran yang boleh bantu atas kelemahan yang ada bagi memastikan penyediaan kandungan lebih baik," katanya.

Ditanya mengenai Rang undang-undang anti buli siber, Saifuddin berkata, pihaknya sedang menyiapkan draf awal bagi rang undang-undang buli siber untuk di bawa ke Kabinet bagi mendapatkan keputusan dasar.

Menurutnya, beliau menjangkakan keputusan dasar itu akan diketahui pada pertengahan Mac depan.