Polis, MBSJ serbu kedai judi

Razali (kanan) ketika operasi yang dijalankan di sebuah kedai judi di Jalan Kenari 3, Puchong pada Jumaat.
Razali (kanan) ketika operasi yang dijalankan di sebuah kedai judi di Jalan Kenari 3, Puchong pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Sebuah premis dipercayai kedai judi diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam operasi yang dijalankan di Jalan Kenari 3, Puchong pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, seramai 11 individu ditahan dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 6.50 petang itu.

"Serbuan yang dijalankan berjaya menahan empat warga asing yang mana dua daripadanya merupakan penjaga kedai judi tersebut manakala tujuh lagi individu yang ditahan merupakan warga tempatan.

"Pelbagai barangan turut dirampas antaranya sebuah komputer riba utama, 18 komputer riba berunsur perjudian dan wang tunai sebanyak RM465," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan awal mendapati kedai judi ini beroperasi sejak seminggu lalu.

"Premis ini didapati beroperasi bermula jam 10 pagi sehingga 8 malam dan pengunjung yang datang adalah warga tempatan dan warga asing.

Razali (kiri) ketika operasi yang dijalankan di sebuah kedai judi di Jalan Kenari 3, Puchong pada Jumaat.
Razali (kiri) ketika operasi yang dijalankan di sebuah kedai judi di Jalan Kenari 3, Puchong pada Jumaat.

"Penjaga dijanjikan gaji sebanyak RM1000 sebulan, dan siasatan mendapati keuntungan harian adalah dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 sehari, sekiranya tidak mencapai sasaran, gaji penjaga akan dikurangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berumur antara 26 hingga 71 tahun.

"Premis ini telah dikenakan waran geledah oleh PDRM (Balai Polis Puchong) pada akhir tahun 2019.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) manakala tindakan yang diambil MBSJ di bawah Seksyen 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Siber Kafe (Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2007 (Menjalankan Perniagaan Pusat Siber Tanpa Lesen MPSJ) selain dikenakan tindakan penutupan dan sitaan oleh MBSJ," katanya.