Tiada lagi gelinciran tanah berlaku

Keadaan terkini kawasan yang terlibat dengan runtuhan sehingga meranapkan lima buah rumah penduduk di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas.
Keadaan terkini kawasan yang terlibat dengan runtuhan sehingga meranapkan lima buah rumah penduduk di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Tiada lagi gelinciran tanah berlaku di runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi di sini selepas meranapkan lima buah rumah milik penduduk sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, kali terakhir runtuhan itu berlaku pada Khamis lalu.

"Setakat ini tiada lagi runtuhan berlaku, bagaimanapun polis bersama agensi penyelamat lain sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi tersebut.

"Ini bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tebing Sungai Kelantan runtuh

Menurutnya, kawalan keselamatan di lokasi kejadian terus diperketatkan bagi memastikan tiada pihak yang menceroboh kawasan tersebut.

Beliau berkata, seramai 12 orang pegawai dan anggota polis ditempatkan di lokasi kejadian bagi membuat pemantauan setiap masa selama 24 jam sehari.

Mohamad Roy berkata, anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) turut membuat pemantauan di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut membantu dalam kerja-kerja pemantauan itu.

Setakat ini, seramai 98 mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan kesemuanya ditempatkan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan ada yang tinggal di rumah saudara.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memasang segera kanvas kalis air bagi membendung runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi di sini.

Kerja-kerja pemasangan tersebut akan melibatkan peruntukan yang berjumlah RM100,000 membabitkan kawasan seluas 4,360 meter persegi dan panjang 200 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Tebing runtuh: KASA pasang kanvas kalis air