Sindiket pemalsuan dokumen warga Vietnam tumpas

V Pannir menunjukan lelaki warga Vietnam yang bernama Nguyen Hai Au Yang yang dicari susulan tumpasnya sindiket pemalsuan dokumen terbesar melibatkan Pati warga Vietnam.
V Pannir menunjukan lelaki warga Vietnam yang bernama Nguyen Hai Au Yang yang dicari susulan tumpasnya sindiket pemalsuan dokumen terbesar melibatkan Pati warga Vietnam.
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim (ZM) Mersing berjaya melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen terbesar yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Vietnam di Johor dan Pahang.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Pahang, Kapten V Pannir Selvan berkata, kejayaan itu susulan penahanan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki cuba untuk menyeludup keluar 19 Pati warganegara Vietnam pada 30 Januari lalu.

Menurutnya, tangkapan melibatkan suspek berusia 19 hingga 50 tahun itu dilakukan pada jam 2.35 pagi kira-kira 1.8 batu nautika dari Tanjung Kempit Endau.

"Hasil dari maklumat yang dikumpulkan ZM Mersing telah menggerakan sebuah bot kilat dan telah berjaya mengesan sebuah bot nelayan tempatan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika cuba merapat bot terbabit enggan berhenti dan telah cuba melarikan diri dengan mengemudi bot secara merbahaya.

"Malah anggota telah mengesan sebilangan Pati telah terjun ke laut dan cuba melarikan diri dengan berenang ke Pantai Kampung Semanyir, Endau. Namun kesemua Pati berjaya ditahan," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Mersing, hari ini.

4270
4270

Tambahnya, pemeriksaan lanjut di dalam bot menjumpai beberapa beg besar pakaian, bekalan makanan serta dokumen yang mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil soal siasat terhadap kesemua Pati membawa kepada penahanan seorang wanita warga Vietnam yang bermaustatin tetap di sini dipercayai tekong darat disyaki menjalankan aktiviti memalsukan dokumen.

"Wanita berusia 30-an itu juga dipercayai menguruskan perjalanan Pati Vietnam ke negara asal. Suspek ditahan pada 3 Februari jam 10.15 pagi di Taman Cemerlang 02, Tanjung Gemok, Rompin.

"Hasil serbuan di rumah suspek telah menjumpai sebanyak 35 buah pasport milik warga Vietnam, 54 buah buku pelaut warga Vietnam dan dokumen yang mencurigakan,"katanya lagi.

V Pannir berkata, hasil soal siasat mendapati sebilangan Pati tersebut datang dari daerah lain di Johor dan dipercayai mereka menjadikan perairan Endau sebagai laluan utama untuk Pati Vietnam memasuki dan keluar dari negara ini.

Jelasnya, sindiket itu juga dipercayai didalangi seorang lelaki warga Vietnam yang bernama Nguyen Hai Au Yang yang telah melarikan diri setelah mengetahui bot tersebut ditahan.

"Risikan dan serbuan pertama dilakukan pada 3 Februari telah berjaya dihidu suspek. Pada 6 Februari suspek berjaya dikesan namun berjaya meloloskan diri berkemungkinan suspek telah mendapat bantuan dari orang tempatan.

"Oleh demikian, orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung suspek diminta menyalurkan kepada ZM Mersing di talian 07-7982529 (pusat operasi) atau tampil sendiri ke pejabat ZM Mersing,"katanya.