Utamakan vaksin kepada guru, pelajar sekolah

PKPIM gesa KPM beri keutamaan kepada guru sebagai penerima awal suntikan vaksin. - Foto 123RF. Gambar kecil: Ahmad Farhan
PKPIM gesa KPM beri keutamaan kepada guru sebagai penerima awal suntikan vaksin. - Foto 123RF. Gambar kecil: Ahmad Farhan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar memberi keutamaan kepada guru sebagai penerima awal suntikan vaksin sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di sekolah.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, gesaan itu bagi memastikan keselamatan guru sebagai barisan hadapan utama negara dalam sektor pendidikan terjamin.

Justeru, PKPIM turut mencadangkan beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh pihak KPM antaranya KPM perlu memperbanyakkan sesi libat urus bersama pemegang taruh pendidikan seperti badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengelakkan 'blanket decision' oleh pihak kementerian.

"KPM disyorkan menimbang kewajaran penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan atau Jawatankuasa Bipartisan Parlimen mengenai pendidikan bagi menyemak semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sebagai persediaan menghadapi kesan semasa dan selepas Covid-19.

"KKM juga perlu meneliti semula takwim persekolahan bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terganggu di samping mencari suatu silibus kurikulum yang lebih fleksibel buat para pelajar ketika mengikuti pembelajaran dalam tempoh pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) harus diberi kuasa autonomi dalam membuat keputusan sama ada sekolah harus dibuka atau sebaliknya dengan menimbang kepada keperluan dan kesediaan lokaliti tersebut.

Katanya, PKPIM memahami kesan daripada penangguhan pembukaan sekolah di seluruh negara.

"Ramai pelajar, ibu bapa dan guru-guru sudah bertungkus-lumus untuk mempersiapkan diri meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) termasuklah menggunakan duit simpanan membeli gajet demi kelangsungan sesi PdPR anak-anak di rumah.

Artikel Berkaitan:

"PKPIM berharap pihak KPM bersedia membuka ruang usaha kerjasama yang lebih padu, holistik dan kolaboratif untuk duduk semeja dengan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam menangani krisis pendidikan pasca Covid-19," kata beliau.

Pada Jumaat, Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi pembelajaran bersemuka akan dibuka bermula secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

Beliau berkata, murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan kembali ke sekolah pada tarikh tersebut.

Menurutnya, pelajar sekolah menengah akan mula kembali ke sekolah pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi pelajar sekolah menengah Kumpulan B, ia akan bermula pada 5 April.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah bermula 1 Mac ini

Sekolah menengah dibuka 4 April