Maritim tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

Maritim Selangor menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Gabang, Selangor pada Jumaat.
Maritim Selangor menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Gabang, Selangor pada Jumaat.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Gabang, Selangor pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kapal tersebut ditahan sekitar jam 12.30 tengah hari oleh kapal ronda Maritim Malaysia KM Danga yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Ehsan di perairan Selangor.

Menurutnya, kapal tangki itu dikesan berlabuh tanpa kebenaran hasil maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (JLMWT) di luar batas Pelabuhan Klang.

“Kapal yang berdaftar di Panama itu dikendalikan 25 kru lelaki berusia di antara 30 hingga 57 tahun termasuk seorang nakhoda.

"Kesemua kru yang merupakan warga China mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pelabuhan terakhir kapal ini adalah Singapura menuju ke Afrika Selatan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

"Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Selangor.

"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal serta ejen dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia," katanya.