Vaksinasi kakitangan, penghuni pusat jagaan warga emas penting

Risiko jangkitan wabak di pusat jagaan warga emas boleh berlaku dengan sangat pantas dan sukar untuk dibendung sekiranya tindakan lambat diambil. - Foto Bernama
Risiko jangkitan wabak di pusat jagaan warga emas boleh berlaku dengan sangat pantas dan sukar untuk dibendung sekiranya tindakan lambat diambil. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Vaksinasi kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas merupakan antara langkah penting dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di negara ini, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata, risiko jangkitan wabak dalam institusi penjagaan berkenaan boleh berlaku dengan sangat pantas dan sukar untuk dibendung sekiranya tindakan lambat diambil.

Menurutnya, ini disebabkan faktor persekitaran tertutup dan kesukaran melaksanakan penjarakan fizikal serta pergerakan pekerja merentas premis penjagaan dan pusat kesihatan yang lain.

“Jika penularan wabak berlaku, bebanan yang dipikul oleh pengendali institusi warga emas akan lebih teruk akibat kekurangan sumber.

“Petugas kesihatan dan keselamatan yang berjuang dengan wabak ini mungkin tidak mampu untuk bertahan apabila terus-menerus dihujani dengan kes dan kluster penularan baharu.

“Sejak pandemik Covid-19 ini melanda, hampir 70 peratus daripada jumlah kematian yang direkodkan adalah dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas," katanya ketika berucap merasmikan Forum Nasional Pelan Vaksinaksi untuk Kakitangan dan Penghuni Pusat Jagaan Berkediaman Warga Emas secara maya pada Sabtu

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan kerjasama pihak yang berkepentingan bagi meningkatkan penerimaan vaksin dalam kalangan kakitangan dan penghuni pusat jagaan berkediaman warga emas.

Malaysia akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Februari ini dengan sasaran 80 peratus penduduk bersamaan 26 juta individu menerima suntikan vaksin secara percuma menerusi tiga fasa bermula April 2021 hingga Februari 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan: