Pimpinan UMNO, Pas dan Bersatu Selangor adakan pertemuan

Foto pertemuan pimpinan UMNO, Pas dan Bersatu Selangor baru-baru ini.
Foto pertemuan pimpinan UMNO, Pas dan Bersatu Selangor baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mengadakan pertemuan baru-baru ini bagi membincangkan isu-isu berbangkit khususnya melibatkan survival politik dan kepentingan rakyat di negeri ini.

Pertemuan itu dihadiri Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, pertemuan itu pastinya menggerunkan Pakatan Harapan (PH) dan turut memberi tamparan hebat khususnya buat musuh-musuh penyatuan ummah.

"Pertemuan enam mata ini menunjukkan jiwa besar ketiga-tiga pemimpin politik di Selangor.

"Keterbukaan ini adalah satu langkah yang cukup mendapat perhatian seluruh penggerak politik anak muda di negeri ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, pemimpin sesebuah parti politik perlu berusaha mencari titik persamaan dalam perbezaan di samping meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara di hadapan.

Beliau berkata, pemimpin politik juga perlu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk bermusyawarah atau bersemuka.

"Bina kekuatan atas perbezaan antara kita bagi menghadapi musuh politik yang sentiasa menanti peluang keretakan antara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Gabungan PN di Selangor sebelum ini kelihatan agak goyah apabila UMNO dikatakan hanya memberi komitmen untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang turut dianggotai oleh Pas.

Malah, krisis UMNO dan Bersatu di Selangor semakin ketara apabila Noh baru-baru ini sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak berkompromi bagi memberi kerusi kubu kuat mereka kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bagaimanapun, Noh berkata, parti Melayu itu bersedia untuk menyokong dan membantu Bersatu di mana-mana kerusi bukan pilihan UMNO.