X

Kindly register in order to view this article
!

KASA aktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut serta tapak pelupusan sampah. Gambar kecil: Tuan Ibrahim
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan bagi menangani masalah pencemaran udara terutama pada musim cuaca panas dan kering ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, prosedur tetap operasi (PTO) bagi melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut turut diaktifkan sejak 9 Februari lalu.

“Selain itu, aktiviti penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan dan tindakan yang lebih tegas akan diambil untuk menangani isu pencemaran udara yang menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan jerebu tempatan yang boleh menjejaskan kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, negara kini sedang berada di penghujung Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac ini.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), beliau berkata, taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara yang akan menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering.

“Keadaan ini akan melibatkan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang, pedalaman Pahang, utara Perak, utara Terengganu dan utara Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Katanya, selain pembakaran terbuka, pelepasan daripada aktiviti perindustrian, aktiviti kerja tanah dan asap kenderaan bermotor turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara negara.

“Sebagai persediaan mendepani cuaca panas dan kering, saya ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak mencemarkan udara dengan melaksanakan langkah-langkah mencegah pembakaran terbuka.

“Pengguna jalan raya juga hendaklah memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, atau menggunakan kenderaan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Ini bertujuan untuk memastikan kualiti udara negara sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!