Isu kuil: Jalan penyelesaian isu tersebut diumum esok

Dari kiri Sivarasa, Gunaraj, Ganabatirau , Amirudin dan Waytha Moorthy ketika pertemuan bersama bagi membincangkan penyelesaian isu Kuil Seafield Sri Maha Mariamman hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah menemui jalan penyelesaian berhubung isu Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ 25 dan perkara itu akan diumumkan dalam satu sidang media yang akan dibuat jam 1 petang esok.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata, berkata, beliau telah bertemu dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah; Exco Selangor, V Ganabatirau dan Adun Sentosa, G Gunaraj bagi berbincang untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

"Satu sidang media akan diadakan di Dewan Annexe Negeri Selangor pada jam 1 petang esok (29 November 2018) bagi memaklumkan mengenai jalan penyelesaian yang telah dipersetujui hasil perbincangan dengan Kerajaan Selangor hari ini.

"Saya juga telah dimaklumkan mengenai perkembangan kesihatan Pegawai Bomba Muhammad Adib. Marilah kita terus berdoa agar ALLWH SWT memberi kesembuhan kepada beliau" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menggesa agar semua pihak tidak menggangu ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan di sekitar kawasan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

"Hasil Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri semalam, pihak polis telah mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi menjamin ketenteraman awam.

"Kerajaan Selangor komited untuk mematuhi lunas undang-undang, menjamin ketenteraman awam dan mencari penyelesaian terbaik bagi isu ini," katanya.