Muka baharu taruhan Melaka United

Nikolic (tengah), Khairul Helmi (kiri) dan Wan Zaharulnizam antara pemain baharu yang menyertai MUFC musim ini.
Nikolic (tengah), Khairul Helmi (kiri) dan Wan Zaharulnizam antara pemain baharu yang menyertai MUFC musim ini.
A
A
A

KEHADIRAN beberapa pemain baharu termasuk tiga awang import diyakini mampu menjadikan Melaka United FC (MUFC) sebagai antara kelab yang digeruni dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan berkata, kehadiran kesemua pemain berkenaan dijangka bakal membawa aura baharu kepada skuad kendaliannya berbanding musim terdahulu.

“Saya yakin mereka yang dibawa masuk musim ini mampu memberikan perubahan kepada pasukan. Sebagai contoh, kami memiliki bekas kapten Kedah, Khairul Helmi Johari di benteng pertahanan serta Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) di jentera serangan.

“Begitu juga dengan tiga pemain daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang beraksi dengan kami musim ini akan menjadikan Melaka United lebih ‘padat’ di semua posisi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tiga pemain import - Alex Goncalves dari Brazil, Manny Ott (Filipina) serta Stefan Nikolic (Montenegro) turut menjadi pelengkap ‘skuad impian’ Zainal Abidin musim ini selepas MUFC mengekalkan khidmat pertahanan Korea Selatan, Jang Suk-Won dan Sony Norde dari Haiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Awang import MUFC lengkap

Dalam pada itu, beliau memberitahu, skuad kendaliannya sudah kembali menjalani sesi latihan secara berpusat mengikut gelembung sukan selepas mendapat ‘lampu hijau’ Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Alhamdulillah, setakat ini latihan berpusat kami berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Kami juga dalam perancangan untuk mengatur perlawanan persahabatan sebelum Liga-M bermula 5 Mac nanti.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap para pemain terus fokus dengan sesi latihan ini kerana kami sudah tidak mempunyai banyak masa. Diharapkan juga dalam tempoh yang ada, para pemain dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain,” ujarnya.