X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan bimbang Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya bakal menghadapi tiga aksi penting pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Jun depan.
A
A

SKUAD Harimau Malaya tidak perlu bimbang apabila terpaksa mengharungi baki tiga perlawanan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di gelanggang lawan pada Jun depan.

Bekas jurulatih legenda Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu harus menjadikan situasi yang berlaku ketika ini sebagai pembakar semangat untuk mereka melakar kejutan di bumi asing.

“Kalau kita tengok, wabak Covid-19 telah menular ke seluruh dunia dan ini bermakna tidak ada mana-mana pasukan pun yang memiliki kelebihan (sebagai tuan rumah) pada aksi kelayakan kali ini.

“Besar kemungkinan juga negara tuan rumah itu nanti tidak ada banyak kelebihan kerana penonton tidak dapat hadir ke stadium, cuma kita belum tahu lagi negara mana yang akan menjadi tuan rumah.

“Jadi bagi saya, semua pasukan dilihat memiliki peluang yang seimbang kerana apa paling penting ketika ini adalah mengenai persiapan menjelang kempen kelayakan itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memaklumkan skuad kendaliannya sedia beraksi di mana-mana venue yang bakal diputuskan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Malaysia sah tidak akan menjadi tuan rumah selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memaklumkan, badan induk itu tidak akan menghantar permohonan kepada AFC.

Mengulas mengenai kemungkinan venue aksi kelayakan itu bakal berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohd Azraai berkata, skuad Harimau Malaya tidak perlu gentar jika AFC membuat keputusan sedemikian.

“Bagi saya sama sahaja, semuanya melibatkan persiapan pasukan dan persiapan itu perlu diperkemas kerana setelah beberapa kali dipinda, hanya tarikh berkenaan (Jun) yang ada.

“Cuaca di negara Timur Tengah (UAE) juga tak jauh beza dengan negara di rantau Asia Tenggara. Jadi pasukan kebangsaan tidak perlu resah memikirkan venue perlawanan kelayakan tersebut.

“Tak kisahlah main di UAE atau di Vietnam atau di negara lain sekalipun, saya harap pemain-pemain negara perlu bersedia dari segi mental dan fizikal dalam misi memburu kemenangan,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!