Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar AS minggu depan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT dijangka meneruskan momentum positifnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, didorong oleh prospek ekonomi global yang bertambah baik, kata seorang peniaga.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, peningkatan hasil Perbendaharaan AS juga diunjur tidak bertahan lama yang sebaliknya memberi sokongan kepada pergerakan ringgit.

“Mata wang yuan pula telah mencatat aliran kenaikan semula apabila mengatasi penyusutan selama tiga minggu dan perkembangan ini turut membantu melonjakkan prestasi ringgit,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, faktor pendorong lain adalah harga minyak mentah yang kekal kukuh walaupun dengan keadaan musim sejuk melampau yang melanda Texas, AS, pada masa ini.

“Data ekonomi global mula memaparkan peningkatan. Keadaan itu bagaimanapun berbeza dengan laporan pekerjaan AS yang lemah dan membayangkan bahawa negara maju itu masih jauh daripada mencatat pemulihan (ekonomi).

“Selain itu, harga komoditi juga amat positif. Oleh itu, saya menjangkakan ringgit akan menyaksikan dagangan lebih mengukuh dengan syarat hasil Perbendaharaan AS tidak meningkat.

"Ini tidak mustahil memandangkan data pekerjaan negara maju itu yang lemah,” katanya.

Innes juga mengunjurkan ringgit akan menguji paras 4.0350 berbanding dolar AS pada minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Bagi perbandingan Khamis hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.0380/0430 berbanding 4.0405/0445 pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0489/0534 daripada 3.0499/0531 pada minggu lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8315/8366 daripada 3.8602/8644.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.6488/6566 daripada 5.5896/5964 sebelum ini dan meningkat berbanding euro kepada 4.8993/9062 daripada 4.9003/9068, sebelum ini. - Bernama