Klinik Kesihatan Rompin siap Ogos ini

Manickam (kiri) ketika meninjau perkembangan pembinaan Klinik Kesihatan Rompin pada Jumaat.
Manickam (kiri) ketika meninjau perkembangan pembinaan Klinik Kesihatan Rompin pada Jumaat.
A
A
A

JEMPOL - Klinik Kesihatan Rompin (Jenis 4) yang mula dibina berhampiran Kampung Baru Rompin di sini pada April 2019 dijangka siap Ogos tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, pembinaan klinik itu bakal memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang dan kawasan sekitarnya.

"Ketika ini, kerja pembinaan di atas tanah kerajaan seluas tiga hektar itu sudah mencapai 63 peratus.

"Jika tiada masalah lain seperti gangguan cuaca ia akan siap lebih awal daripada jadual," katanya selepas selesai melawat pembinaan klinik berkenaan pada Jumaat.

Manickam berkata, pembinaan klinik itu melibatkan kos sebanyak RM24 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

"Orang ramai tidak perlu lagi pergi ke Klinik Kesihatan Bahau bagi mendapatkan rawatan sebaik klinik baharu ini mula beroperasi.

"Klinik ini mempunyai kemudahan unit kecemasan, pesakit luar, makmal, klinik pergigian, wad bersalin, unit x-ray selain kuarters kediaman bagi kakitangan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Manickam berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi menyiapkan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang St Helier yang terbengkalai sejak 2013.

Artikel Berkaitan:

"Bangunan tambahan itu sepatutnya siap pada 2014, namun disebabkan beberapa masalah ianya gagal disiapkan.

"Bangunan tambahan itu mempunyai enam bilik darjah serta sebuah makmal komputer dan berharap kerajaan dapat membantu demi keselesaan pembelajaran murid," katanya.