X

Kindly register in order to view this article
!

Segera putuskan rantaian rasuah

Hussamuddin (kanan) bersama Sayed Munawar pada program Bicara Minda yang berlangsung di Auditorium Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

USAHA untuk memutuskan rantaian rasuah yang telah membarah di Malaysia sejak sekian lama perlu digerakkan secara organik melibatkan rakyat semua peringkat. Revolusi nilai, moral dan pemikiran untuk menghapuskan rasuah yang menjadi duri dalam daging ini perlu dilakukan segera demi kesejahteraan negara dan generasi masa depan.

Justeru, pengenalan kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa atau Sinar Rasuah Busters yang mula digerakkan sejak lebih sebulan lalu dilihat tepat pada masanya.

Ikuti hasrat dan perancangan lanjut Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub merangkap Ketua Pasukan Rasuah Busters pada program Bicara Minda mengenai hala tuju kempen tersebut.

Program yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Jumaat menampilkan Sayed Munawar Sayed Mustar sebagai moderator.

SAYED MUNAWAR: Apa sebenarnya yang mencetuskan Datuk untuk memulakan agenda Rasuah Busters ini?

HUSSAMUDDIN: Saya sudah berada dalam industri penerbitan akhbar selama 40 tahun. Saya seorang yang percaya kepada kebebasan akhbar. Sepanjang 40 tahun saya berada di dalam dunia perniagaan, saya melihat keruntuhan moral bangsa ini semakin teruk. Masalah rasuah makin berleluasa. Hampir setahun lebih negara dibadai Covid-19. Hidup rakyat kelihatan begitu sengsara. Malah, lebih teruk lagi apabila masing-masing bergaduh sesama sendiri.

Berbeza dengan negara lain, mereka dapat uruskan dengan baik. Mereka gunakan harta negara untuk menyelamatkan rakyat. Di Malaysia, kita ada masalah besar di mana rasuah sudah menjadi darah daging. Dalam ekosistem kita, semuanya perlu berbayar. Jadi kos sara hidup jadi makin tinggi. Oleh sebab itu, sebagai pemilik media, kita sepatutnya memandang kepada ummah. Masing-masing perlu berganding bahu demi menyelamatkan bangsa khususnya generasi muda agar mereka tidak turut terjebak dengan masalah integriti dan salah guna kuasa.

Selain Sinar Harian, siapa lagi dalam kalangan media yang menyambut perjuangan yang dibawakan oleh Datuk sekarang ini?

Selama 40 tahun Karangkraf diwujudkan, kita sudahpun berjaya sampaikan kepada rakyat walaupun sumbangan itu dilihat agak kecil. Apabila melihat keadaan sekarang, rakyat seolah-olah merelakan apa yang berlaku. Keruntuhan moral bangsa inilah yang membolehkan salah laku rasuah membiak. Itulah kenapa saya rasakan saya perlu gerakan kempen ini. Saya harus mengambil peranan ini untuk mengetuai satu gerakan kesedaran. Walaupun orang kata dah berakar umbi tapi saya yakin sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh, Insya-ALLAH kita boleh bebas daripada masalah isu integriti dan salah guna kuasa.

Bagaimana Rasuah Busters ini boleh membawa kepada satu dimensi yang berbeza?

Saya lihat rata-rata pemimpin politik sudah hilang kredibiliti dan rakyat sudah hilang kepercayaan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) dikatakan hampir 60 tahun memerintah namun gagal atasi isu integriti dan salah guna kuasa. Bahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri pun gagal atasi perkara sama meskipun pernah memerintah selama 22 bulan. Keadaan menjadi semakin teruk apabila kerajaan dipegang oleh Perikatan Nasional (PN).

Kalau kita betul-betul ikut ajaran Islam sebenar sebagaimana diajar oleh al-Quran dan Sunnah, ia sememangnya cukup jelas. Kenapa rakyat tidak amanah? Ini kerana mereka tidak ada nilai moral dalam diri. Jadi, dengan adanya kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa ini kita dapat kembalikan semula sistem moral tersebut. Rakyat harus bergerak sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pemimpin politik. Bila adanya satu revolusi sikap dan revolusi nilai, barulah kita boleh berjaya banteras isu integriti dan salah guna kuasa.

Datuk, kita mengakui masyarakat terlalu feudalistik dan ciri feudalistik itu mereka mencari hero, wirawan dan dalam realiti kita hari ini, Datuk sendiri menyebut bahawa sistem sudah runtuh. Kita runtuh segala-galanya termasuk institusi yang sepatutnya menegakkan keyakinan. Apakah nanti Sinar Harian mampu menimbulkan rasa kejelikan?

Saya rasa kita harus lihat kepada diri kita sendiri. Ada orang Melayu yang baik, orang Cina yang baik, orang India yang ada disiplin, yang berpegang kepada nilai, masih ada cuma selama ini mereka memilih duduk di belakang dan membiarkan noisy minority (suara minoriti) untuk menilai dan suara minoriti ini yang menyokong pemimpin yang bagi saya, saya guna analogi, orang mata satu memimpin orang buta. Jadi sekarang orang yang celik kena bangun keluar daripada zon selesa mereka, iaitu zon yang tengok sahaja dan membiarkan.

Tapi dia kena bangun dan suarakan kerana sekarang duduk sahaja dan merelakan adalah satu dosa besar. Jadi kalau kita dah sedar kita lakukan sesuatu. Kita perlu mulakan revolusi ini dengan diri kita dulu. Jadi di peringkat kita, kita tolak secara terang-terang apa sahaja salah laku dan moral yang tidak bagus, nilai-nilai yang tidak bagus itu kita tolak. Apa yang ingin saya katakan ialah, gerakan ini mesti dari bawah ke atas.

Hussamuddin - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussamuddin - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Mula dari diri ke keluarga, ke lingkungan dan masyarakat berasaskan nilai-nilai murni mengikut agama masing-masing. Kita balik kepada agama. Bagi saya, kita beragama selama ini salah. Kenapa saya ambil momentum sekarang untuk lancar kempen ini kerana kita tengok seluruh dunia berkurung. Manusia sekarang takut mati. Bagi saya inilah saat terbaik untuk membawa perasaan takut kepada Tuhan, kita tanam perasaan ketakwaan, supaya dapat bangkitkan kembali apabila keluar daripada Covid-19 ini dengan jiwa yang baharu.

Apakah media lain juga ada sentimen yang sama? Bagaimana dengan sambutan media?

Bila saya lancar program ini banyak sambutan daripada media, surat khabar pertama temu bual saya adalah The Edge. The Edge ini kita tahu dimiliki orang bukan Melayu dan pasaran mereka adalah sektor korporat dan sektor ini juga berhadapan dengan isu rasuah. Tapi mereka berani temuramah saya dan berani promosi dan banyak surat khabar Cina dan media yang dimiliki oleh bukan orang Melayu yang turut menyokong. Rakyat sekarang sudah penat. Orang yang membayar penat, jadi dia tidak mahu bayar lagi.

Itu sebab mereka sokong kempen ini dan orang yang menerima dah kaya raya tu mungkin dia akan berhenti. Kita harap begitu dengan kempen ini. Yang duduk ambil sikit-sikit kita berharap berhenti ambil. Sebab itu saya gunakan perkataan putuskan rantaian. Bermakna kalau kita dapat putuskan rantaian itu maka kita berjaya. Macam Covid-19 jugalah. Kempen ini akan menjadi kerana satu, ia bukan dimulakan oleh kerajaan, bukan dimulakan oleh orang politik.

Pasal kalau dimulakan oleh kerajaan majlis pelancaran lebih besar daripada kejayaan. Jika orang politik pula mereka sekarang sudah hilang kredibiliti dan Sinar Harian ini kenapa saya rasakan kempen ini Insya-ALLAH akan berjaya kerana sepanjang saya berniaga 40 tahun ini saya sudah dapat bina satu reputasi, maksudnya orang dah kenal saya. Masa saya terbit Watan dulu, kita akhbar bebas walaupun zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akhbar saya kena gantung tiga kali, tapi saya teruskan, saya konsisten. Kemudian saya terbit pula akhbar Eksklusif, Mahathir gantung akhbar saya sekali lagi dan kini saya terbitkan Sinar Harian yang kini sudah masuk usia 15 tahun. Saya sahaja yang berani bebas, masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak mereka tidak kacau saya. Bila Pakatan Harapan (PH) masuk mereka lagi tidak kacau saya tapi sebab saya dah ada reputasi, saya bebas dan dalam bisnes kami memang kontrak kerajaan itu tidak sampai satu atau dua peratus daripada perniagaan kita pun. Maknanya saya boleh, saya ada reputasi yang saya rasakan bahawa ahli perniagaan bukan Melayu pun percaya dengan saya, orang ramai percaya saya dan saya rasa orang politik pun dia tahu mana pendirian saya. Saya ada baca dalam media sosial, orang politik branding saya secara bebas dan berbahaya.

Pasal saya masih ingat masa Datuk Seri Najib Razak datang berbuka puasa dekat sini tujuh, lapan tahun dahulu dalam ucapan, beliau minta Sinar Harian bantu. Saya kata hendak bantu tidak ada masalah, boss saya adalah ALLAH, saya lapor pada ALLAH. Jadi maknanya saya bertanggungjawab memastikan surat khabar saya ini bebas. Cuma pada masa dahulu kebebasan akhbar tidak sebebas macam sekarang. Tapi dalam keadaan sukar pun saya kekal bebas. Jadi sekurang-kurangnya Sinar Harian ini ada satu reputasi, Karangkraf ini bebas dan semua orang tahu. Kita tidak ada agenda politik. Saya langsung tidak ada agenda. Saya buat ini kerana betul-betul rasa bersalah. Sebab saya rasakan apa yang saya buat 40 tahun dahulu tidak cukup untuk ubah pemikiran orang Melayu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!