Kluster Jalan Green dikesan susulan pergaduhan pada Hari Kekasih

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Satu pergaduhan di Jalan Green di sini sewaktu sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari lalu telah membawa kepada pengesanan satu daripada dua kluster baharu di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kluster itu, yang dikenal pasti sebagai Kluster Jalan Green itu juga telah menyebabkan seramai 130 anggota polis dikuarantin.

Beliau berkata, indeks kes Kluster Jalan Green adalah kes ke-7,093 dan ke-7,094 yang dikesan melalui saringan orang kena tahan (OKT) tangkapan polis pada 14 Februari di daerah Kuching.

“Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak-kontak kepada kedua-dua kes indeks ini mendapati tambahan empat kes telah dikesan.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 148 individu telah disaring dan enam kes telah dikesan positif manakala 112 kes masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 Sarawak di sini pada Jumaat.

Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, berkata keenam-enam kes positif telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Jumaat mengumumkan pengesanan Kluster Kejatau di Daerah Sri Aman.

Menurut Uggah, Kluster Kejatau adalah kluster di tempat kerja yang melibatkan sebuah pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan Fasa 2, Jalan Kejatau, Sri Aman.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 92 individu telah disaring dan tujuh kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk indeks kes, enam kes negatif dan 79 kes masih menunggu keputusan,” katanya.

Pada Jumaat, sebanyak 199 jangkitan baharu dikesan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri itu meningkat kepada 7,624.

Terdapat dua kematian baharu akibat Covid-19 di Sibu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian meningkat kepada 69 di seluruh Sarawak. - Bernama