Isyarat UMNO bila banyak negeri enggan kompromi kerusi

Keratan Sinar Ahad pada 14 Februari lalu.
Keratan Sinar Ahad pada 14 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendirian UMNO di beberapa negeri yang bertegas enggan berkompromi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah isyarat jelas parti keramat itu mahu mengurangkan penguasaan Bersatu terutamanya dalam perebutan kerusi nombor di Putrajaya selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, melalui tindakan ‘memulaukan’ Bersatu di peringkat negeri, UMNO menghantar signal bahawa rundingan kerusi untuk PRU15 mesti mengikut kehendak parti itu jika Bersatu tidak mahu dikurangkan pengaruh mereka.

Jelas beliau, UMNO sudah tentu berusaha mengurangkan bilangan kerusi pilihan raya ditandingi Bersatu dan tidak mungkin membenarkan parti itu mengambil jawatan terpenting dengan kekuatan sebagai parti kedua atau ketiga terbesar dalam koalisi disertai mereka.

“Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru antara UMNO, Bersatu dan Pakatan Harapan (PH), yang pasti kalah bukan UMNO atau PH tetapi Bersatu yang kekurangan jenama kukuh dan jentera pilihan raya.

“Bila UMNO berjaya menekan Bersatu supaya berunding kerusi PRU15 mengikut kehendak mereka, karier politik Muhyiddin selaku Perdana Menteri akan berakhir.

“Secara ringkas, sekalipun koalisi perdana PN (Perikatan Nasional) dan BN kekal kerajaan, maka bosnya adalah UMNO dan bukan lagi Bersatu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak Ahad lalu, hubungan antara parti dalam kerajaan PN kembali hangat diperkatakan selepas Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi kata dua kepada pemimpin Bersatu Perak supaya tidak bertanding di kawasan Parlimen yang dimenangi UMNO.

Amaran tersebut turut disambut Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menegaskan pihaknya akan memastikan semua kerusi tradisi ditandingi UMNO termasuk kerusi milik Ahli Parlimen Bersatu yang melompat daripada parti itu.

Artikel Berkaitan:

Di Terengganu, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Khamis memberi kenyataan lebih tegas, apabila UMNO tidak akan memberi peluang kepada Bersatu mahupun Pas, apabila akan bertanding di semua kerusi pada PRU15.

Ditanya sekiranya terdapat mana-mana gabungan politik yang akan mencapai status koalisi perdana, Chin Huat berpandangan kemungkinan itu amat tipis kerana pembentukan koalisi akan mengurangkan peluang pemimpin parti menjadi calon PRU15.