SPG sedia salurkan bekalan elektrik kepada grid nasional

Datuk Nor Azman Mufti
Datuk Nor Azman Mufti
A
A
A

SHAH ALAM - Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG) kini bersedia untuk menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas kitaran gabungan (CCGT) yang masing-masing berkapasiti 720MW.

Pengarah Urusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti berkata, beliau berbangga untuk berkongsi SPG yang mana boleh beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya.

Katanya, ia berikutan unit kedua (Unit 2) Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada tengah malam ini.

“Unit 1 juga mencapai tarikh operasi komersial pada 1 Januari lalu. Dengan tercapai COD Unit 2 ini, sejumlah 720MW lagi penjanaan disalurkan kepada kapasiti penjanaan sedia ada di Semenanjung Malaysia yang membawa jumlah keseluruhan penjanaan kepada 25,962MW,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kedua-dua loji berkenaan terletak secara strategik di bahagian selatan Malaysia iaitu Pasir Gudang dan Johor Darul Takzim.

Menurutnya, ia berperanan penting dalam mengukuhkan kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

“Kedua-dua loji ini dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh REMACO, anak syarikat TNB Power Generation Sdn. Bhd.

“Ia adalah anak syarikat milik penuh TNB yang membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara portfolio unit penjanaan tenaga milik TNB,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nor Azman, SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan menggunakan gas asli sebagai bahan bakar utama.

Katanya, bekalan elektrik yang dijana menggunakan teknologi turbin pembakaran 9HA.02 daripada General Electric (GE) dijangka mencapai kecekapan loji kitarpadu melebihi 60 peratus.

“SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan tarbin gas 9HA.02 terbaharu dan paling cekap dihasilkan GE.

“TNB dan anak syarikat milikan penuhnya memiliki saham majoriti sejumlah 70 peratus dalam SPG sementara SIPP Energy Sdn Bhd memegang baki 30 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, kejayaan SPG dapat dilakukan hasil kerjasama pihak berkepentingan termasuklah pengawalselia, pihak berkuasa, rakan projek, pemodal dan juga kontraktor.

“Terima kasih. Bersama, kita telah menjadikan ia satu pencapaian bermakna buat TNB dalam menjayakan projek-projek utama negara,” katanya.